Kerajaan Malayu – Sebuah Kerajaan Purba yang Hilang (Bab 1)



Tajuk artikel ini seperti aneh bunyinya. Masakan tidak, Kerajaan-kerajaan Melayu yang pernah wujud masih kekar dalam kerajaan-kerajaan Kesultanan Melayu Islam di Malaysia, mahupun di Seluruh Nusantara ini, walaupun banyak kerajaan-kerajaan melayu yang telah dimusnahkan oleh Revolusi Sosial 1946. Namun begitu, admin ingin berbicara mengenai sebuah kerajaan yang memang dipanggil Malayu atau Moloyu yang menjadi pertikaian beberapa orang sarjana Sejarah mutakhir ini.

Menurur catatan I-Ching pada tahun 670 M, Sami Buddha Yi Jing telah belayar dari Canton ke Po-Shi (Shih Lih Po Shih atau Srivijaya) selama 2 bulan, dan tinggal di sana selama 6 bulan untuk mempelajari Agama Buddha dan Bahasa melayu yang menjadi Bahasa Lingua Franca dan Bahasa Ilmu di masa itu. Semasa Yi Jing datang ke Po-Shi, didapatinya Po-Shi adalah sebuah Kota yang menempatkan banyak vihara-vihara yang menjadi tumpuan ramai biksu-biksu datang mempelajari ilmu agama Buddha, sehingga dilaporkan seramai 1,000 orang biksu yang wujud di sana. Setelah Coedes menjumpai Prasasti Kedukan Bukit, Talang Tuwo, Karang Brahi dan Lampung, semua catatan luar yang berkaitan sebagai rujukan silang mahu dipadankan dengan Kota Palembang sebagai Pusat Kerajaan Srivijaya, walaupun situs peninggalan di Kota Palembang tidak se gah yang terdapat di Muara Jambi mahupun di Muara Takus. Namun, Prof Dr. Suzuki yang merujuk kepada dapatan Moens mendapati Ibukota Srivijaya tidak sepadan dengan Palembang dari segi catatan luar mahupun hubungan dengan China. Dalam pelayaran Yi Jing, beliau belayar dengan sangat cepat dari Canton iaitu selama dua bulan pada bulan November. Umum kita tahu, Bulan November adalah permulaan monsun Timur Laut yang sering melanda Pantai Timur Semenanjung dan seluruh Teluk Siam. Perjalanan dari Canton dalam monsun Timur Laut perlu melalui Pulau Condore, kira-kira 100 batu nautika dari Panduranga (Pelabuhan di Ho Chi Minh City) dan perjalanan yang sangat pantas ialah dengan mengikut arah tiupan monsun Timur Laut iaitu ke arah Pantai Timur Semenanjung.

Selain daripada tinggal di Po-Shi untuk mendalami agama Buddha, Yi Jing juga perlu menunggu selama enam bulan untuk belajar ke Kota Moloyu. 6 bulan diperlukan untuk belayar kerana menunggu monsun Barat Daya yang akan membantu pelayarannya, di samping dapat menghabiskan masa dengan mendalami Bahasa melayu dan agama Buddha. Seterusnya, Yi Jing dapat pergi ke Moloyu menaiki Perahu diraja, dengan masa pelayaran selama 15 hari dan singgah di Moloyu selama dua bulan. Seterusnya, menukar arah pelayaran ke Kedah dengan tempoh pelayaran selama 15 hari.

Kata kunci ‘MENUKAR ARAH’ itu sangat menarik, sehingga menarik perhatian banyak Sejarahwan mutakhir untuk mengkaji lalu menolak ibukota Srivijaya yang pertama terletak di Palembang. Hujah-hujah mereka antaranya termasuklah perjalanan dari Palembang ke Jambi tidak sampai 15 hari jika perbandingan dibuat dengan jarak Jambi ke Kedah, sedangkan dalam catatan I-Ching, jaraknya sama iaitu 15 hari pelayaran. Selain itu, jika Po-Shi itu terletak di Palembang, Moloyu itu di Jambi, Yi Jing tidak perlu menukar arah untuk sampai ke Kedah. Jelasnya, Moloyu mestilah sebuah pelabuhan yang terletak di arah yang berbeza dengan arah pelayaran ke Kedah.Oleh yang demikian, ada sejarahwan seperti Nilakanta Sastri, Moens, Suzuki Takashi dan sebagainya berpendapat Kerajaan Moloyu yang dikunjungi oleh Yi Jing itu terletak di Selatan Semenanjung Tanah Melayu, sama ada di Kepulauan Bintan, Singapura Purba, mahupun di Hujung Tanah (Johor Bahru).

Apa yang lebih menarik, terdapat sebatang sungai dan kampung yang bernama Sungai Melayu dan Kampung Sungai Melayu yang terletak di penghujung Semenanjung Tanah Melayu di Skudai. Latitud dan Longitudnya ialah: 1.460757, 103.700930 dan terletak hampir betul-betul di tengah-tengah Selatan Semenanjung.

Kota Moloyu yang dilawat oleh Yi Jing mungkin hanya sebuah Kota Pelabuhan daripada empayar Malayu yang wujud pada masa tersebut. Berkemungkinan Kota Melayu ialah Empayar Persekutuan Negara-negara yang telah dilalui oleh Dapunta Hyang Sri Jayanasa dalam perjalanan Siddhayatra untuk menawan negarakota-negarakota melayu.

Bersambung...

Sumber Gambar: Daripada penulisan ilmiah Prof Dr Suzuki Takashi terhadap Sejarah Srivijaya.
Taburan Penduduk Etnik Melayu yang wujud sehingga kini di negara jiran.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kelahiran Empayar Srivijaya – Sebuah Empayar Persekutuan

Kedah Tua… Dari Sebuah Kota Kepada Sebuah Empayar

Benarkah Istana Melaka Hanya di Bukit Melaka (St. Paul) sahaja?