Politi Kerajaan-Kerajaan Melayu dari Pertengahan Abad ke-6 hingga Abad ke-7M



Selepas kejatuhan Kerajaan Funan dikeronyok oleh gabungan tentera Bhavavarman dari wangsa Funan (campuran dengan Chen-la) sendiri dan Citrasena yang merupakan sepupu baginda Bhavavarman, Rudravarman yang juga datuk kepada Bhavavarman terpaksa akur dengan kejatuhan Kota Vyadhapura dan penaklukan Tentera Chen-la ke atas Bandar Pelabuhan Oc-eo. Rudravarman yang di dalam kempen penaklukan ke atas kerajaan-kerajaan melayu di pesisir-pesisir pantai atau Kota Maritim yang telah menjejaskan hegemoni perdagangan Funan yang menjadi pusat pengumpulan barangan-barangan seantero kepulauan melayu. Setelah Negara Takuapa, Tanah Merah, Langkasuka dan Kedah melepaskan diri dari menjadi negara bawahan (vassal) Funan, Rudravarman mengalami kemerosotan kerana laluan perdagangan yang strategik ini (menyeberangi Segenting  Kra) tidak lagi singgah di Oc-eo kerana teknologi pelayaran di masa itu telah berubah kepada terus ke Panduranga, iaitu pelabuhan Kerajaan Champa. Keadaan ini menyebabkan Maharaja Rudravarman, pemegang hegemoni Persekutuan Negarakota-negarakota Melayu menyerang atau berdiplomasi dengan Kerajaan-kerajaan melayu di Segenting Kra dan memaksa mereka tunduk kepada kekuasaan Funan. Keadaan ini juga menyebabkan Rudravarman menjadikan Agama Buddha Mahayana sebagai agama rasmi Funan bagi mengukuhkan lagi penguasaan negarakota-negarakota melayu di Segenting Kra, pantai barat dan pantai timurnya yang mana majoriti mereka mengadopsi ajaran Buddha.

Keadaan ini tidak disenangi oleh Chen-la dan kerabat istana Funan sendiri kerana kebanyakan daripada mereka menganut ajaran Hindu yang mana ada hubungkait dengan Kerajaan Orissa di timur laut Anak Benua India. Apabila dapat peluang, iaitu semasa Maharaja Rudravarman berkunjung ke Panpan atau Chihtu, Bhavavarman dan Citrasena menyerang dan menakluk ibukota Vyadhapura dan pelabuhan Oc-eo. Rudravarman dan pengikut-pengikutnya yang terbuang membuka semula Negara Funan di Segenting Kra, dalam kawasan Negarakota Panpan.
Hegemoni yang mungkin di awal kurun ke-7 M. Klik gambar untuk imej yang lebih besar

Oleh sebab pengaruh Funan yang sangat kuat sebagai pemegang hegemoni Persekutuan Negarakota-negarakota Melayu, negarakota-negarakota lain yang berteraskan Mon dan Pyu juga meloloskan diri daripada pengaruh Chen-la yang telah menguasai Vyadhapura dan Oc-eo. Negarakota-negarakota Dvaravati, Takola, Lo-yue, Tanah Sari dan sebagainya turut membebaskan diri dari pengaruh Chen-la. Maka, wujudlah Mon-city States dan Pyu-city States yang mewarnai tanah besar Asia Tenggara pada kurun ke-6 M sebagai negarakota-negarakota pertanian. Keadaan ini berterusan sehingga kurun ke-8 M sebelum pengaruh melayu kembali merajai seluruh Asia Tenggara melalui kerajaan Srivijaya dan pewarisnya.

Di Tanah Melayu pada pertengahan kurun ke-6 hingga penghujung kurun ke-7 M, negarakota-negarakota melayu wujud menjadi entiti yang berasingan selepas Funan keluar dari Lembah Mekong. Keadaan ini hampir menyamai dengan keadaan kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka di mana negarakota-negarakota di bawah naungan Melaka menjadi entiti tersendiri seperti Jambi, Kampar, Bintan, Pahang, Pattani dan sebagainya. Kewujudan pola demografi ini berteraskan kepada etnik dan agama. Negarakota-negarakota di Tanah Besar Asia Tenggara masih pekat dengan Hindu Sivaism. Segenting Kra, Kedah dan pantai timur pula dengan ajaran Buddha Mahayana, Kerajaan Malayu (Selatan Semenanjung dan Kepulauan Riau-Lingga), Jambi, Palembang dan seluruh Selatan Sumatera pula mengadopsi Ajaran Buddha Theravada atau Hinayana, di samping mengekalkan kepercayaan agama tua mereka. Agama yang dipercayai dianuti oleh bangsa melayu merentasi kepulauan-kepulauan melayu iaitu agama monotheism (Percaya kepada Sang Hyang Tunggal sebagai pencipta alam) dan percaya kepada bintang-bintang dan semangat-semangat. Agama ini dipercayai Ajaran Agama Kapitayan yang bertransformasi menjadi ajaran Kejawen dan kepercayaan-kepercayaan orang asli di semenanjung Tanah Melayu, orang Kubu atau Sakai di Sumatera serta ajaran orang asal di Borneo.

Dengan adopsi Buddha Mahayana di Segenting Kra, negara-negara yang mengamalkan ajaran Buddha Mahayana seperti dinasti Tang, dinasti Sui, Nalanda dan Orissa (Kalinga) di Teluk Bengal lebih cenderung memilih negarakota-negarakota tersebut sebagai laluan perdagangan mereka di abad ke-6 dan 7 M. Keadaan ini menyebabkan negarakota sepanjang laluan trans-semenanjung seperti Langkasuka, Kedah, Panpan, Chih tu, Khalatan, Bolola, Polosuo, Takola menjadi negarakota yang sangat kaya-raya. Negara-negara di sepanjang Selat Melaka pula menjadi sokongan kepada negara-negara tersebut dengan membekalkan pelbagai barangan dagangan seperti emas, rempah ratus, gaharu, kemenyan dan sebagainya yang menjanjikan pendapatan yang lumayan. Laluan Selat Melaka di masa itu masih lagi belum cukup popular kerana kebimbangan terhadap orang laut-orang laut yang ganas serta aktiviti pelanunan yang berleluasa di seluruh kepulauan melayu.

Selepas kerajaan di Selatan India bangkit sebagai kuasa maritim, perdagangan yang berlaku semakin pesat dan laluan Selat Melaka pula menjadi popular dalam kalangan pedagang. Keadaan ini berlaku selepas Kerajaan Malayu menghantar ufti kepada Dinasti Sui pada tahun 644 M. Laluan Trans-Semenanjung yang selama ini menjadi lubuk kekayaan kepada semua negarakota di Segenting kra, utara dan pantai timur semenanjung Tanah Melayu semakin merosot apabila pelayaran di Selat Melaka menjadi lebih popular dalam kalangan pedagang kerana Kepulauan dari arah Selatan menjadi pusat pengumpulan emas, gaharu, kapur barus dan rempah ratus. Situasi ini menjejaskan sedikit perdagangan di sepanjang laluan Trans-Semenanjung. Keadaan ini menjadi teruk apabila berlaku perang serta penaklukan Chenla ke atas negarakota-negarakota melayu di Oc-eo sehingga ke Cahaya, serta kekacauan di Teluk Siam. Antara Negarakota yang terjejas akibat peralihan pola perdagangan ini ialah Langkasuka, Kedah, Beruas, Chih-tu (Negara Tanah Merah), Panpan, Khalatan, Foloan, Gangga Negara dan sebagainya.

Kewujudan negarakota-negarakota baharu yang menjadi rakan dagang kepada Kerajaan Tang pula menyebabkan keadaan ekonomi negarakota-negarakota di Pantai Timur dan Segenting Kra bertambah buruk. Kebanyakan negarakota di Asia Tenggara dan Kepulauan Melayu menjalinkan hubungan dagangan yang tersendiri dengan Kerajaan Tang, sebelum Tahun 670 M. Kewujudan nama-nama negara baharu dalam rekod Tang seperti Po-luo, Duo-po-deng, Duo-He-luo, Tou-huan, Tan-ling, Duo-mo-chang, Kha-ling, Ming-mie, dan Lou-cheng menunjukkan ada hubungan dagangan antara Negara Tang dan Negarakota-negarakota tersebut sebelum polisi baharu perdagangan diwujudkan oleh Kerajaan Tang.

Pada Pertengahan Kurun ke-7 M, negarakota-negarakota melayu di Pantai Timur dan Segenting Kra menerima ancaman yang sangat dahsyat dari Kerajaan Chen-la. Mengikut rekod Tang berkenaan Chen-la, Negara Chen-la telah menyerap sepenuhnya Kerajaan Funan ke dalamnya. Selain itu, Kerajaan Duo-he-luo (Mungkin di Takola atau Takuapa) bersempadanan dengan Timur Chen-la dan Selatan dari Pan-pan. Ini menunjukkan Chen-la telah mula mempengaruhi Dvaravati dan Pantai Timur Segenting Kra. Negara Funan baharu di Selatan Pan-pan telah diancam dengan dahsyatnya dengan kehadiran Chen-la di sana. Hipotesis saya, Chen-la Laut (Water Chen-la) telah mula menjadikan negarakota-negarakota pelabuhan di Langkasuka, Tambralingga dan Kha-la-tan sebagai Vassal kerajaannya.

Oleh yang demikian, negarakota-negarakota melayu yang lain telah mengadakan suatu persidangan dan perancangan untuk merebut kembali tanah air mereka dari pengaruh Chen-la. Chen-la memiliki tentera darat yang hebat, tetapi lemah dari segi ketenteraan laut. Ini menjadi suatu kelebihan kepada negarakota-negarakota melayu untuk mengalahkan Chen-la, dengan syarat mereka perlu bersatu. Ajaibnya, melalui rundingan diplomatik, Negarakota-negarakota melayu di Segenting Kra dan Pantai Timur telah mencapai suatu persetujuan dan membentuk sebuah Kerajaan Persekutuan yang diketuai oleh Seorang Yang Dipertuan Agung atau digelar sebagai Dapunta Hyang. Antara negarakota yang mungkin terlibat ialah Chih-tu (Tanah Merah), Takola, Dan-dan, Fo-loan dan Kha-ling. Menurut hipotesis saya, Takola di Utara Kedah (Kataha), Dan-dan di Utara Terengganu, Foloan di Tengah dan Selatan Terengganu dan Kha-ling di Pahang. Kerajaan ini dibentuk di sebuah negarakota yang digelar Kota Jaya (Fo-she dalam pelat China) dan mengambil nama Berjaya atau Seri Berjaya (Srivijaya). Kerajaan ini digelar sebagai Shih-lih-Fo-shih atau Srivijaya dengan Pan-pan diangkat menjadi ketua mengenangkan pewaris Empayar Melayu Funan berada di sana.

Seterusnya, Persekutuan Srivijaya ini dengan mudahnya menewaskan wakil-wakil Kerajaan Chen-la dan menghalau Chen-la dari Tanah Melayu di Kha-la-tan, Tambralingga dan Langkasuka dan membentuk sebuah Kerajaan Persekutuan yang diperintah secara Thalarokrasi atau penggiliran Dapunta Hyang. Persekutuan Srivijaya yang dibentuk ini bermula dari Segenting Kra dan Pantai Timur Semenanjung. Dari arah Selatan pula terdapat Kerajaan Lo-cheng (Bintan) dan Temasik purba yang termasuk dalam hegemoni Kerajaan Malayu (nama asal kerajaan melayu) yang secara hipotesisnya mencadangkan Empayar Melayu ini meliputi Selatan Johor, Singapura, Kepulauan Riau-Lingga dan sebahagian Tenggara Sumatra. Kerajaan Malayu mungkin sebuah kerajaan yang dipelopori oleh Keturunan Melayu Laut (Orang Laut) hari ini. Dari arah Pantai Barat pula, Kerajaan Kedah menguasai Kerajaan Gangga Negara dan mungkin memanjang sehingga ke Krabi di Utara dan sehingga ke Klang bagi ke arah Selatannya. Sempadan dengan Kedah ke utara ialah Kerajaan Duo-he-luo yang ada dua Pulau iaitu Tuo-han dan Tan-ling. Tuo-han mungkin di Phuket dan Tan-ling di Ko Yao. Duo-he-luo pula berkemungkinan di Thai-Mueang.

Poli, sebuah kerajaan yang telah wujud sebagai salah sebuah kerajaan yang disebut dalam Catatan Sui mungkin bermula di Delta Muara Sungai Rajang telah memindahkan ibukotanya ke Muara Sungai Brunei di Zaman Tang. Sebab Poli memindahkan ibukotanya masih menjadi misteri. Mungkin mereka menghadapi ancaman dari Pribumi garang yang turun dari hulu Sungai Rajang seperti Kaum Melanau, Bidayuh mahupun Iban. Antara kaum asal yang ikut serta dalam perpindahan itu ialah Kaum Melayu Brunei, Bisaya dan Dusun. Tiada catatan khusus yang boleh dikaitkan dengan pemindahan tersebut, melainkan catatan Tang yang menyebut ibukota Poli terletak di Tenggara dari Lin-yi (Champa) dan untuk sampai ke Poli, perlu melalui Pan-pan, Chishi (Chih-tu?) dan Dan-dan. Maknanya, dari Guangzhao, pedagang perlu melalui Teluk Siam terlebih dahulu ke Kelantan dan Terengganu sebelum menggunakan arus laut China Selatan ke arah Borneo. Dalam catatan Sui pula, besar Poli dari Timur ke Barat mengunjur perjalanan selama 4 bulan dan dari Utara ke Selatan hanya 45 hari, ke arah baratnya terletak kerajaan Kha-ling. Begitulah politi-politi kerajaan melayu yang dapat dikesan, namun ia berkemungkinan tidak tepat dengan peristiwa sebenar, kerana terputus banyak rujukan-rujukan sejarah.

Rujukan:

1.      2014, Geoffrey Goble, Maritime Southeast Asia: The View From Tang–Song China, The Nalanda-Sriwijaya Centre, Institute of Southeast Asian Studies (ISEAS)
2.   2012, Suzuki Takashi, The History of Srivijaya: Under The Tributary Trade System of China, JPCA
3    3. 2011, The Early Interaction between South and Southeast Asia, Reflections on Cross-Cultural Exchange, Institute of Southeast Asian Studies.

Ulasan

  1. Hmm...Poli. Cikgu Nizam boleh juga kupas tentang Poni. Taukan?
    saya syorkan kupas apa yang berlaku di Borneo ketika era Malay city-states di sebelah smenanjung dan sumatera.

    Poni ni pun agak lama usianya.

    ~Srikandi

    BalasPadam
  2. Macam tau2 jer ciksri pasal Poli dan Poni... hehe. Kebetulan tadi dkt sekolah ada seorang YB di Limbang yang kaji pasal sejarah Borneo ni dan mengatakan bahawa Kerajaan Poni atau Boni telah wujud pada tahun 860M... mgkin Poli dan Poni ni sama, cuma sebutan era cina sahaja yang berbeza?? sbb klu ikut Suishu, dari timur ke barat Poli mengambil masa 4 bulan perjalanan, manakala dari utara ke selatan mengambil masa 45 hari sahaja....

    BalasPadam
  3. Mana ada Melayu di zaman Poli/Poni. Yang ada cuma Dusun dan Bisaya di Brunei ketika itu. Dusun dan Bisaya, bangsa terawal di Brunei. Sebelum berkhijrah kaum Lun Bawang dari pedalaman ke pesisir, akhirnya Melayu berhijrah ke Brunei dari Sumatra dan Kedayan.

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Funan - Empayar Melayu Yang Gemilang

Istana Kesultanan Melayu Melaka Yang Asal, Tidak Logik di Bukit Melaka?

Strategi Portugis Menawan Melaka