Sesungguhnya, tiada yang lebih menyayat hati daripada melihat bangsanya dijajah, fizikalnya mahupun mentalnya. Jika suatu masa dahulu, melayu disogokkan hanya untuk mewarisi "pekerjaan kampung" melalui sekolah-sekolah rakyat yang diwujudkan oleh penjajah British, yang mana nenek moyang kita dahulu dibenarkan bersekolah hanya sampai darjah 6 sahaja semata-mata untuk mewarisi pekerjaan petani biasa ataupun nelayan kecil-kecilan. Momokan melayu sebatang jarum pun tidak mampu hendak perbuat sangat menyakitkan hati, tapi kita telan bulat-bulat apa sahaja yang disuakan oleh penjajah British.

Tanpa kita sedari, tradisi maritim kita sedikit demi sedikit terhakis. Kewujudan bandar-bandar pelabuhan di seluruh alam melayu seumpama hilang ditelan zaman, sehingga kita melihat teknologi purba melayu melalui pandangan teknologi sekarang, walhal pengetahuan nenek moyang kita jauh lebih tinggi berbanding sains moden. Seawal abad pertama masihi, telah wujud pelbagai negarakota-negarakota di seluruh alam melayu, dari Lamuri sampai ke Ternate dan jauh merentasi Samudera yang ganas sehingga ke Rapa Nui, mahupun ke Antara Tanah Seribu (Antanarivo) seawal tahun 8,000 Sebelum masihi.

Memang sukar dibayangkan kewujudan kapal-kapal laut yang besar gedabak, boleh membawa muatan melebihi 1000 tan di zaman tersebut, memang sukar digambarkan dengan teknologi hari ini. Apatah lagi dengan racun 'inferiority complex' yang ditabur oleh penjajah-penjajah durjana yang mahu orang melayu hanya mewarisi teknik pertanian dan nelayan biasa-biasa sahaja, walhal manuskrip kuno melayu dicuri, dibawa lari balik ke negara mereka untuk dikaji dan dikeluarkan ilmu yang wujud di dalam pelbagai bidang keilmuan. Hasilnya, bangsa penjajah dan orientalis dapat menganalisis dan mengekstrak pelbagai ilmu yang wujud di alam melayu dan digunakan untuk memajukan bangsa mereka, dan mendabik dada seolah-olah semua ilmu ditemui oleh bangsa mereka, menjadikan bangsa mereka lebih berdaya saing dalam pelbagai bidang sains, sama ada sains sosial mahupun sains hayat.

Yang lebih menyedihkan, setelah hampir 59 tahun merdeka, masih ramai anak bangsa yang inferior dengan sejarah sendiri, serta luput jatidiri. Tidak kiralah di peringkat mana pun mereka, sama ada seorang menteri, profesor, guru mahupun rakyat marhaen masih terbawa-bawa racun yang disuakan oleh penjajah 59 tahun dahulu. Sibuk mengkaji pelbagai penafian (denial syndrome) tentang hikayat-hikayat melayu dan tokoh-tokoh melayu, sibuk mengkaji penafian keagungan bangsa melayu kuno, tembok-tembok batu dan sistem perbandaran melayu yang terlebih dahulu merentasi zaman. Sayangnya Kota Setar yang masih tinggal suatu masa dahulu terkubur bersama-sama dengan maksud pembangunan, amat sayang sekali artifak-artifak yang dijumpai semasa membuat pembangunan dibiarkan terkubur atau dijual di pasar-pasar gelap oleh pekerja biasa yang buta sejarah dan tidak tahu nilai sejarah sebenar, ataupun buruh warga asing yang sememangnya hanya memandang duit semata-mata.

Mujurlah, ada sekumpulan sarjana melayu yang bercita-cita tinggi dengan meneruskan pengkajian yang dikaji oleh George Coedes ataupun James Low. Melalui pemetaan Lembah Bujang, mereka telah berjaya menemui suatu tapak arkeologi yang lebih penting dan lebih menarik iaitu Kawasan Ekskavasi Sungai Batu. Kumpulan pengkaji yang diketuai oleh Datuk Prof. Dr Mokhtar Saidin berjaya mengesan dan memetakan lebih 90 buah bangunan kuno yang tertimbus di sebalik belukar dan tertanam ke perut bumi. Dengan bantuan teknologi satelit dan perkembangan keilmuan di Malaysia umumnya, dan USM khususnya, mereka berjaya mengkaji dan menggali pelbagai situs-situs purba yang sangat mengujakan. Apatah lagi terdapat sebuah ketamadunan purba yang tertua di Asia Tenggara ditemui di Lembah Sungai Batu.

SEJARAH DUNIA BAKAL DITULIS SEMULA! Itulah frasa yang sangat menggembirakan kita semua selaku pewarisnya. Jika Stephen Oppenheimer yang tiada kaitan dengan tamadun ini berasa sangat bangga dan teruja, meskikah kita terus berdiam diri melihat sahaja orang lain bersorak-sorai di atas keagungan bangsa kita? Lembah Sungai Batu telah menjadi sebuah tapak ketamadunan lengkap yang tertua, bertarih sehingga 500 tahun Sebelum kelahiran Nabi Isa. 500 tahun, semasa Parsi masih memerangi negarakota-negarakota Greek, di masa Alexander The Great belum meluaskan kuasa ke serata dunia, di masa Empangan Maarib masih mengairi negara Saba', di masa Chandra Gupta masih belum dilahirkan.... Pada masa yang sama, Kedah telah membangun menjadi sebuah negarakota yang sangat kaya dengan aktiviti peleburan besi pada skala industri! Penemuan beribu-ribu Tuyere yang bersusun dengan sistematik dan diasingkan yang rosak dengan yangv masih elok hampir sahaja memengsankan pengkaji-pengkaji tamadun neolitik barat mahupun timur. Terkejut dengan penemuan agung dalam sejarah ini.

Tamadun Kedah Tua sememangnya sebuah ketamadunan hebat yang pasti membungkam lidah orang-orang yang mengatakan melayu berasal dari Sumatera, sedangkan penemuan ritual penyembahan yang tua, 400 tahun sebelum kehadiran agama Hindu Buddha di Sungai Batu melihatkan keunikannya yang tersendiri dan tiada langsung kaitan dengan mana-mana tamadun di seluruh dunia ini, termasuklah dari India. Penemuan tempat sembahan yang berbentuk Bulat dan tertua di dunia pasti mengaitkan ia dengan bangsa yang wujud secara in-situ di Merbok, Kedah. Bangsa apa lagi kalau bukan bangsa melayu? Berbanggalah dengan pencapaian nenek moyang kita dalam berbuat negarakota, maka bangkitkanlah minda di bawah sedar masing-masing untuk lebih berdaya saing dengan bangsa lain.


Di kesempatan ini, pada Hari ini, 20 Mei hingga 23 Mei 2016, Kerajaan Negeri Kedah, PPAG USM, Korridor Utara, Jabatan Warisan dan pelbagai penganjur lain telah bekerjasama untuk mengadakan Festival Kedah Tua (2016) yang dimeriahkan dengan pelbagai program-program menarik. Kepada yang berpeluang, jangan lepaskan peluang yang hebat ini dengan menyertai program ini. Program ini turut disertai 29 orang arkeologis dan pengkaji-pengkaji terkemuka seantero dunia.


Untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan dengan Program, sila layari http://festivalkedahtua.blogspot.my/p/jadual.html

Di mana, sejarah dunia bakal ditulis semula, di bumi yang bertuah ini. Jom ramai-ramai kita meriahkan Festival yang julung-julung kalinya diadakan di negara ini.


Yang-ti memanggil pembesar-pembesar istana Sui datang mengadap. Baginda amat bercita-cita untuk menakluki dunia sebelah Utara dari empayarnya, setelah berjaya menundukkan Negara Dai (Viet) dan sebahagian Champa.

Namun begitu, baginda amat bercita-cita untuk menakluki negara Goguryeo, sebuah Kota Maritim di Semenanjung Korea. Lalu baginda menghantar pegawai-pegawai kepercayaan baginda untuk membuat hubungan diplomasi dengan negara yang sangat kaya di Asia Tenggara iaitu Chih-tu bagi membiayai kempen perang di Goguryeo.

Chih-tu merupakan sebuah negara kota yang sangat kaya raya. Kekayaan negara ini terkenal seantero dunia kerana negara ini mengawal kawasan perlombongan emas dan perdagangan di Timur dan Barat Selat Melaka. Namun begitu negara ini sering diancam oleh negara-negara lain yang menjadi pesaing kepada negara ini. Antara negara yang paling dahsyat mengancam ialah negara Chen-la. Chen-la yang telah berjaya menghalau Rudravarman serta keluarga diraja Funan yang berbangsa melayu tidak berjaya memusnahkan seluruh empayar Funan apabila Raja Funan dirajakan di Pan-pan dengan seluruh kekuatan armada Funan merantai seluruh lautan dan kepulauan yang wujud di Teluk Siam, Chen-la tidak dapat meneruskan kemaraannya ke Selatan lagi dari Pelabuhan Oc-eo. Natijahnya, Dvaravati pula mengisytiharkan mereka merdeka dari belenggu Chen-la.

Namun begitu, dalam laporan Kronik Tang (Tang-shu), Chen-la telah menyerap semua bekas jajahan Funan. Mungkin Chen-la yang mempunyai kekuatan tentera darat yang kuat berjaya menakluki semula Dvaravati dan Kerajaan Mon tersebut mengikuti arahan Chen-la. Kerajaan-kerajaan di Seluruh Segenting Kra pula berjaya memerdekakan diri dari belenggu Chen-la dan mengikuti telunjuk ‘Funan’ baharu yang dirajakan di Pan-pan. Pan-pan yang asalnya sebagai Kota Para Pendita (Brahman) yang hanya menggunakan tembok kayu dan askar yang tidak dilengkapi alat kelengkapan moden, berubah menjadi sebuah Kota Maritim yang kuat dengan kelengkapan moden yang dibekalkan oleh Tentera Laut Funan. Oleh yang demikian, Pan-pan menghantar utusan ke Dinasti Liang pada tahun 551 dengan rajanya berasal dari Funan atau dari Jalur Keturunan Varman.

Kita perlu ingat, bahawa tradisi raja-raja melayu ini ialah, pembesar atau raja bawahan akan membuka dahulu sesebuah negeri, baru raja akan ditabalkan kemudian jika negeri tersebut sesuai. Semasa pentadbiran raja bawahan, negeri tersebut tidak terlalu berkembang pesat. Namun, setelah pewaris raja yang asal ditabalkan (seperti kes Demang Daun Lebar dan Seri Teri Buana), Negeri tersebut akan berkembang dari sebuah pelabuhan kecil atau kota kecil menjadi kota pelabuhan utama. Apabila Pan-pan menjadi negara yang ditabalkan raja besar, ia bertukar menjadi emporium. Pan-pan yang menjadi sebahagian daripada Funan sebelumnya, bertukar memainkan peranan sebagai pusat pemerintahan empayar Funan. Justeru, Raja-raja Funan dan Pan-pan silih berganti muncul namanya menghantar utusan penguftian dan perdagangan dengan negara China sehingga pertengahan abad ke-7M.


Jangkaan Kerajaan-kerajaan di Tengah Semenanjung kurun ke-7 M

Kemunculan kuasa dunia di Segenting Kra ini berjaya menghalang Chen-la dari menjarah kawasan melayu. Namun begitu, Kerajaan yang sedia ada iaitu Kerajaan Kedah (Kan-da-ri) dan Langkasuka (Lang-Hya-Shu) yang wujud di Selatan Segenting Kra terasa terancam dengan kehadiran emporium Funan yang telah menyerap seluruh Tun-sun, iaitu dari Martaban sehingga ke Takola, membentuk wilayah yang besar dan kuat. Lalu, Kerajaan Kedah dan Langkasuka bergabung di bawah satu empayar yang menjadi negara persekutuan pertama yang wujud dengan menggunakan bendera Sang Saka Merah Putih, membayangkan tanahnya yang kebanyakannya berwarna merah dan kota-kota pentadbiran dan candi-candi yang berwarna merah. Kewujudan empayar persekutuan ini dinamakan Empayar Tanah Merah yang diwujudkan pada tahun 568M atau pada tahun 490 saka dengan Raja dari Wangsa Chudam (Gautama). Mungkin Chudam ini adalah nama keluarga yang sama seperti Merong. Namun begitu, empayar Tanah Merah (Chi-tu) ini tidak berhubungan dagangan dengan Empayar Chin kerana empayar Chin lebih meyakini Pan-pan dan Funan daripada kewujudan Chih-tu, walaupun sebelumnya, Kandari dan Langkasuka pernah menghantarkan utusan ke istana Chin. Chih-tu juga menjalinkan hubungan yang baik dengan negara Pan-pan (Funan), Kha-la-tan dan Fu-nan.

Namun setelah kejatuhan Dinasti Chen, muncul pula dinasti Sui yang sangat agresif. Dinasti Sui pula menyerang, menjarah dan menakluki wilayah-wilayah Champa (Lin-yi), yang kita tahu mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Funan (wangsa Varman) sejak Funan menguasai seluruh Sungai Mekong dan Dataran yang sangat luas di Indochina. Oleh yang demikian, Yang-ti tidak boleh membuat hubungan dagangan dengan Pan-pan secara langsung. Justeru itu, Yang-ti telah mengumpulkan seluruh menteri, sida-sida dan bijak pandai yang wujud dalam istana Sui untuk membincangkan mengenai negara dagangan yang penting untuk mereka hubungi untuk meningkatkan pendapatan negara Sui, seterusnya dapat membiayai projek-projek mega di negara Sui seperti Terusan Besar (Grand Canal) dan membiayai perang di Goguryeo.

Setelah selesai berbincang, maka mereka memilih negara Chih-tu, sebuah negara yang berstatus empayar persekutuan untuk mereka hubungi bagi meningkatkan lagi hubungan dagang dengan negara di Laut Selatan. Chang Chun, Penasihat Harta Ketenteraan dan Wang Chun-Cheng, Pengawal Sumber Semulajadi telah dipilih untuk mengetuai utusan ke Negara Sui untuk menjalinkan hubungan dagangan. Negara Chih-tu sudah terkenal sejak zaman Chin lagi. Masakan tidak, semasa Sui hendak membuat perhubungan dengan negara Chih-tu, mereka telah tahu bahawa Raja yang memerintah (Gautama Wijaya atau Chu-tan Li-fu-to-she) sudah menaiki takhta selama 16 tahun.

Apa yang menarik mengenai Chih-tu ialah ia dikenali sebagai satu kerajaan seperti Funan, atau sebahagian daripada Funan. Namun, ia membesar sehingga beberapa ribu li dan tanah keseluruhannya berwarna merah, yang mana kebiasaannya warna tanah merah ialah kawasan tanah laterit, iaitu kawasan tanah tinggi di Semenanjung Malaysia. Malangnya, kawasan tanah laterit di Malaysia terlalu banyak dan mengunjur sepanjang semenanjung Malaysia, menyukarkan pencarian ibukota Chih-tu dilakukan. Apa yang pelik melalui rekod Sui, Rajanya tidak mengetahui apa-apa berkenaan dengan negara bersebelahan atau negara yang jauh, namun rajanya telah membuat hubungan diplomatik dengan raja-raja bersebelahan melalui perkahwinan, di mana isteri-isteri baginda seramai tiga orang dari tiga kerajaan yang berjiranan. Mungkin rajanya tidak mengetahui besar atau luas sebenar kerajaan-kerajaan bersebelahan, tetapi Chih-tu yang kaya-raya telah menjalinkan hubungan yang akrab dengan kerajaan-kerajaan besar lain seperti Pan-pan, Kha-la-tan dan Tan-tan.

Mungkin Chih-tu berjaya menyerap Kha-la-tan dan Tan-tan selepas kehadiran utusan dari Dinasti Sui yang nyata lebih besar dan kuat kuasa tenteranya. Ibukota Chih-tu sangat besar, dengan pelbagai kekayaan yang menunjukkan lagi kemegahan kotanya. Dengan Pintu gerbang tiga lapisan, setiap satu lapisan berjarak lebih 100 kaki membuktikan kewujudan sebuah Negarakota yang makmur dan kaya-raya. Setiap satu gerbang diwarnakan dengan warna ‘spirits in flight’, boddhisattvas dan immortal yang lain, dan digantung dengan bunga-bunga emas dan loceng kecil. Memang sukar untuk membayangkan Kota Eldorado atau Shangri-la yang telah hilang ini. Setiap gerbang ada 10 orang perempuan , sama ada bermain muzik atau memegang bunga emas. Terdapat empat orang hulubalang yang menjaga setiap gerbang. Pintu gerbang membayangkan kekayaan sesuatu empayar, apatah lagi pintu gerbang yang indah dililiti bunga-bunga emas yang sanagt bernilai tinggi. Sememangnya, Chih-tu sangat kaya-raya. Setiap bangunan di istana diraja terdapat beberapa pavilion (anjung) dengan pintu menghadap ke utara. Maharaja Empayar Tanah Merah biasanya memakai baju berwarna merah ros dan bersemanyam di atas singgahsana yang setinggi tiga tingkat, mengenakan rantai kepala (chaplet) yang diperbuat dari bunga emas serta rantai leher yang dipenuhi dengan pelbagai permata. Empat orang hulubalang di kiri dan kanan baginda, dan lebih seratus pengawal yang mengawal baginda.

Di belakang singgahsana pula, diletakkan tokong kecil yang diperbuat daripada kayu tetapi bertatahkan emas, perak dan lima jenis kayu gaharu, manakala di belakang tokong tersebut diletakkan lampu berwarna emas. Di sebelah singgahsana, diletakkan dua cermin yang diperbuat daripada logam. Sebelum cermin, diletakkan dua kendi logam dan dupa emas yang berasap kemenyan atau setanggi di sebelahnya. Di hadapan semua perkakasan tersebut, terdapat sebuah arca kerbau emas yang dibaringkan dan sebelumnya terdapat kanopi yang bertatahkan ratna mutu manikam, dengan kipas yang sangat mahal di kedua-dua hujung kanopi. Terdapat beratus-ratus Brahman yang duduk berhadapanan antara satu sama lain, menghadap ke kiri dan ke kanan.

Empayar Tanah Merah sememangnya suatu ketamadunan yang lengkap dengan sistem pemerintahan yang baik dan berkesan. Maharaja melantik banyak menteri-menteri untuk membantu baginda mentadbir. Melalui Sui-shu, pegawai di istana Chih-tu ialah seorang Sa-to-chia-lo (Sadhukara atau Bendahara), dua orang To-na-ta-yu (mungkin Dhanada yang bermaksud pemancar keampunan, mungkin ini Hakim yang mana jawatan yang sama juga dijumpai di Funan), tiga orang Chia-li-mi-chia (Karmika yang bermaksud agen) yang bertanggungjawab dalam perhubungan politik, seorang chu-lo-mo-ti (kulapati yang bermaksud ketua rumah, yang juga wujud sejak dari zaman Funan) yang dipertanggungjawabkan mentadbir undang-undang jenayah. Setiap kota pula diwakili oleh seorang Na-ya-chia (Nayaka yang bermaksud pembimbing atau ‘guide’) dan 10 orang Po-ti (Pati yang bermaksud ketua). Kehidupan masyarakat Empayar Tanah Merah diwarnai dengan pelbagai kebudayaan dan ketamadunan tinggi seperti adat perkahwinan, kematian, kelahiran dan perhubungan sosial serta ada kelas sosial yang tersendiri. Di zaman ini, masyarakat melayu telah bertindik telinga dan memotong rambut menunjukkan adanya perkembangan fesyen dalam masyarakat.

Projek perhubungan dagangan antara Sui dengan Chih-tu sememangnya suatu projek besar yang dirancangkan oleh Yang-ti. Baginda memerintahkan Chang Chun membawa sutera 200 gulung (seorang seratus) dan 5,000 pelbagai barangan lain sebagai hadiah kepada Maharaja Chih-tu. Perhubungan dagang yang besar ini dimulakan oleh Dinasti Sui di China, dan bukan dari Tanah Melayu. Sudah semestinya kapal kargo atau jong yang terbaik dan terbesar digunakan untuk datang ke Tanah Melayu dan perhubungan antara Dinasti Sui dengan empat kerajaan-kerajaan yang wujud di Asia Tenggara pada masa itu tidaklah serancak hubungan dengan Kerajaan Chih-tu atau Bumi Merah yang sangat kaya dengan emas dan besi.

Perlu diingat bahawa, empat buah kerajaan yang disebut dalam Sui-shu ialah Lin-yi (Champa), Zhen-la (Chenla), Chih-tu (Tanah Merah) dan Po-li (Buni atau Burnie). Walaubagaimanapun, hanya Chih-tu sahaja yang betul-betul dihubungi oleh Chang-chun untuk membuat hubungan dagang, menunjukkan bahawa empayar Tanah Merah tersangat penting berbanding empat empayar yang lain.

Menurut kedudukan geografi Chih-tu yang tercatat dalam pelbagai sumber catatan dari China seperti Sui shu, Tung tien, Tai-ping-huan-yu-chi, Pei-shih, Xin Tang shu dan Chiu Tang shu, Chih-tu sangat mungkin berada di Pantai Timur semenanjung Tanah Melayu dan mengunjur ke tengah-tengah atau mepelasi banjaran titiwangsa.. Di Utara Chih-tu menghadap ke lautan, ke Timurnya pula ada negara Bo-lo-la (Po-lo-cha dari teks Tung tien) dan di baratnya negara Po-lo-suo (Lo-po dari teks Tung tien) dan merentasi lautan di sebelah Barat Lautnya boleh sampai ke Negara Po-lo (Xin Tang Shu dan Chiu Tang Shu). Di Selatan Chih-tu terletaknya Kerajaan Kha-la-tan. Negara Chih-tu juga terletak betul-betul di Selatan Yai-chou. Dalam rekod Taiping Huan Yu Chi berkenaan dengan negara Chin-li-pi-shih, Kerajaan Chin-li-pi-shih terletak lebih 40,000 li ke arah Barat Daya ibukota. Seseorang akan melepasi negara Tan-tan (ke negara tersebut) dan ke barat (Chin-li-pi-shih) dengan jarak 1,500 li dari Kerajaan Tanah Merah. Dalam catatan Sui shu dan Pei shih berkenaan dengan Po-li juga ada dinyatakan bahawa dari Chiao-chih (Tongking), belayar ke arah selatan, seseorang akan melepasi Chih-tu dan Tan-tan, dan akan sampai ke negara (Po-li) tersebut. Dalam Tung tien juga ada disebutkan bahawa apabila musim sejuk, bayang-bayang terbentuk terus ke bawah dan apabila musim panas, bayang-bayang akan terbentuk ke arah selatan.

Kembali kepada perjalanan Cang Chun dan Wang Chun-cheng, mereka bertolak dari bulan ke sepuluh (November ke Disember) pada tahun 607M daripada Nan-hai (Kanton), setelah belayar selama 20 hari dalam angin yang sesuai (Monsun Timur Laut), mereka sampai ke Pergunungan Chiao-shih (Batu Berapi?), kemudian bergerak ke arah Tenggara, mereka berlabuh pula di Pulau Ling-chieh-po-pa-to yang menghadap ke arah Lin-yi yang terletak di arah Barat pulau tersebut. Mereka kemudiannya belayar ke arah selatan sehingga ke Shih-tzu-shih (Batu Singa?), kemudian mereka meneruskan perjalanan merentasi rantaian pulau kecil dan besar, setelah belayar selama dua ke tiga hari, mereka terlihat Gunung-gunung Lang-ya-hsu (Langkasuka). Kemudian mereka meneruskan perjalanan ke arah selatan sehingga sampai ke Pulau Chi-lung (sarang ayam?) dan akhirnya sampai ke sempadan Negara Chih-tu.

Berdasarkan pelayaran mereka, dari Canton (Guangzhou), ambil masa selama 20 hari untuk sampai ke kawasan pergunungan Chiao-chih yang terletak di timur Champa, kemudian mereka singgah di sebuah Pulau yang berada di perairan Champa atau Vietnam hari ini, ke arah tenggara dari Pergunungan Marble yang berada di pinggir pantai Vietnam. Kemudian mereka belayar ke arah selatan, mengikuti arus lautan yang membawa mereka ke perairan Langkasuka, yang menjadi sebahagian daripada Funan di masa itu. Rantaian pulau kecil dan besar berkemungkinan kawasan kepulauan di Koh Samui dan gunung Langkasuka ialah pergunungan Bang Luang yang wujud pada hari ini di kawasan Nakhon Si Thammarat. Mereka seterusnya belayar ke selatan lagi dan sampai ke Pulau Sarang Helang. Tidak dapat dipastikan Pulau yang wujud di Pattani, namun saya beranggapan Pulau Sarang Helang itu telah bercantum dengan tanah besar Pattani kerana pembentukan delta yang meluas di kawasan dataran delta pattani.

Laluan Trans-Semenanjung (Rujukan: The Golden Khersonese)
Muara kerajaan Chih-tu terletak di Muara sungai Pattani, yang mana Sungai Pattani adalah antara salah satu jalan trans-semanjung yang wujud di zaman dahulu, yang boleh tembus ke Sungai Perak, melalui kawasan Hutan Simpan Bang lang, Royal Belum dan tembus ke Gerik. Gerik adalah laluan pedalaman yang penting kerana menjadi titik pertemuan saudagar-saudagar dan berkemungkinan terdapat kawasan R&R di situ suatu masa dahulu. Mungkin ibukota kerajaan Chih-tu terletak berhampiran dengan Pantai Barat, di Dataran Hilir Sungai Perak. Ini kerana tanaman utama Chih-tu ialah padi dan tebu, yang mana kedua-duanya memerlukan kawasan penanaman yang luas. Negara berjiranan dengan Chih-tu di sebelah baratnya ialah Po-lo-suo dan di sebelah kirinya Bo-lo-la. Sukar untuk dipastikan negara apa kerana tiada dalam rekod-rekod lain, melainkan hanya dalam rekod Sui shu dan Tung tien sahaja. Mungkin sahaja nama negara tersebut adalah negara kecil yang tidak berinteraksi secara langsung dengan negara luar kerana tertakluk di bawah penguasaan Chih-tu. Po-lo-suo mungkin berkaitan dengan Pulau Serai atau Gunung Jerai, manakala Bo-lo-la adalah Negara di Narathiwat hari ini. Kha-la-tan di selatan Chih-tu ialah Negara Kelantan hari ini dan sebuah negara lain yang boleh dikunjungi jika kita merentasi lautan dari arah Barat Daya Chih-tu ialah Negara Po-lo, yang terletak di Pulau Sumatra, berkemungkinan Negara Po-lo ialah di Kota Panai (Pane) yang telah dikenali dari zaman dahulu lagi.

Rujukan:
1)      2014, Geoffrey Goble, Maritime Southeast Asia: The View From Tang–Song China, The Nalanda-Sriwijaya Centre, Institute of Southeast Asian Studies (ISEAS)
2)      2012, Suzuki Takashi, The History of Srivijaya: Under The Tributary Trade System of China, JPCA 
3)    1961, Paul Wheatley, The Golden Khersonese, University of Malaya Press.


Selepas kejatuhan Kerajaan Funan dikeronyok oleh gabungan tentera Bhavavarman dari wangsa Funan (campuran dengan Chen-la) sendiri dan Citrasena yang merupakan sepupu baginda Bhavavarman, Rudravarman yang juga datuk kepada Bhavavarman terpaksa akur dengan kejatuhan Kota Vyadhapura dan penaklukan Tentera Chen-la ke atas Bandar Pelabuhan Oc-eo. Rudravarman yang di dalam kempen penaklukan ke atas kerajaan-kerajaan melayu di pesisir-pesisir pantai atau Kota Maritim yang telah menjejaskan hegemoni perdagangan Funan yang menjadi pusat pengumpulan barangan-barangan seantero kepulauan melayu. Setelah Negara Takuapa, Tanah Merah, Langkasuka dan Kedah melepaskan diri dari menjadi negara bawahan (vassal) Funan, Rudravarman mengalami kemerosotan kerana laluan perdagangan yang strategik ini (menyeberangi Segenting  Kra) tidak lagi singgah di Oc-eo kerana teknologi pelayaran di masa itu telah berubah kepada terus ke Panduranga, iaitu pelabuhan Kerajaan Champa. Keadaan ini menyebabkan Maharaja Rudravarman, pemegang hegemoni Persekutuan Negarakota-negarakota Melayu menyerang atau berdiplomasi dengan Kerajaan-kerajaan melayu di Segenting Kra dan memaksa mereka tunduk kepada kekuasaan Funan. Keadaan ini juga menyebabkan Rudravarman menjadikan Agama Buddha Mahayana sebagai agama rasmi Funan bagi mengukuhkan lagi penguasaan negarakota-negarakota melayu di Segenting Kra, pantai barat dan pantai timurnya yang mana majoriti mereka mengadopsi ajaran Buddha.

Keadaan ini tidak disenangi oleh Chen-la dan kerabat istana Funan sendiri kerana kebanyakan daripada mereka menganut ajaran Hindu yang mana ada hubungkait dengan Kerajaan Orissa di timur laut Anak Benua India. Apabila dapat peluang, iaitu semasa Maharaja Rudravarman berkunjung ke Panpan atau Chihtu, Bhavavarman dan Citrasena menyerang dan menakluk ibukota Vyadhapura dan pelabuhan Oc-eo. Rudravarman dan pengikut-pengikutnya yang terbuang membuka semula Negara Funan di Segenting Kra, dalam kawasan Negarakota Panpan.
Hegemoni yang mungkin di awal kurun ke-7 M. Klik gambar untuk imej yang lebih besar

Oleh sebab pengaruh Funan yang sangat kuat sebagai pemegang hegemoni Persekutuan Negarakota-negarakota Melayu, negarakota-negarakota lain yang berteraskan Mon dan Pyu juga meloloskan diri daripada pengaruh Chen-la yang telah menguasai Vyadhapura dan Oc-eo. Negarakota-negarakota Dvaravati, Takola, Lo-yue, Tanah Sari dan sebagainya turut membebaskan diri dari pengaruh Chen-la. Maka, wujudlah Mon-city States dan Pyu-city States yang mewarnai tanah besar Asia Tenggara pada kurun ke-6 M sebagai negarakota-negarakota pertanian. Keadaan ini berterusan sehingga kurun ke-8 M sebelum pengaruh melayu kembali merajai seluruh Asia Tenggara melalui kerajaan Srivijaya dan pewarisnya.

Di Tanah Melayu pada pertengahan kurun ke-6 hingga penghujung kurun ke-7 M, negarakota-negarakota melayu wujud menjadi entiti yang berasingan selepas Funan keluar dari Lembah Mekong. Keadaan ini hampir menyamai dengan keadaan kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka di mana negarakota-negarakota di bawah naungan Melaka menjadi entiti tersendiri seperti Jambi, Kampar, Bintan, Pahang, Pattani dan sebagainya. Kewujudan pola demografi ini berteraskan kepada etnik dan agama. Negarakota-negarakota di Tanah Besar Asia Tenggara masih pekat dengan Hindu Sivaism. Segenting Kra, Kedah dan pantai timur pula dengan ajaran Buddha Mahayana, Kerajaan Malayu (Selatan Semenanjung dan Kepulauan Riau-Lingga), Jambi, Palembang dan seluruh Selatan Sumatera pula mengadopsi Ajaran Buddha Theravada atau Hinayana, di samping mengekalkan kepercayaan agama tua mereka. Agama yang dipercayai dianuti oleh bangsa melayu merentasi kepulauan-kepulauan melayu iaitu agama monotheism (Percaya kepada Sang Hyang Tunggal sebagai pencipta alam) dan percaya kepada bintang-bintang dan semangat-semangat. Agama ini dipercayai Ajaran Agama Kapitayan yang bertransformasi menjadi ajaran Kejawen dan kepercayaan-kepercayaan orang asli di semenanjung Tanah Melayu, orang Kubu atau Sakai di Sumatera serta ajaran orang asal di Borneo.

Dengan adopsi Buddha Mahayana di Segenting Kra, negara-negara yang mengamalkan ajaran Buddha Mahayana seperti dinasti Tang, dinasti Sui, Nalanda dan Orissa (Kalinga) di Teluk Bengal lebih cenderung memilih negarakota-negarakota tersebut sebagai laluan perdagangan mereka di abad ke-6 dan 7 M. Keadaan ini menyebabkan negarakota sepanjang laluan trans-semenanjung seperti Langkasuka, Kedah, Panpan, Chih tu, Khalatan, Bolola, Polosuo, Takola menjadi negarakota yang sangat kaya-raya. Negara-negara di sepanjang Selat Melaka pula menjadi sokongan kepada negara-negara tersebut dengan membekalkan pelbagai barangan dagangan seperti emas, rempah ratus, gaharu, kemenyan dan sebagainya yang menjanjikan pendapatan yang lumayan. Laluan Selat Melaka di masa itu masih lagi belum cukup popular kerana kebimbangan terhadap orang laut-orang laut yang ganas serta aktiviti pelanunan yang berleluasa di seluruh kepulauan melayu.

Selepas kerajaan di Selatan India bangkit sebagai kuasa maritim, perdagangan yang berlaku semakin pesat dan laluan Selat Melaka pula menjadi popular dalam kalangan pedagang. Keadaan ini berlaku selepas Kerajaan Malayu menghantar ufti kepada Dinasti Sui pada tahun 644 M. Laluan Trans-Semenanjung yang selama ini menjadi lubuk kekayaan kepada semua negarakota di Segenting kra, utara dan pantai timur semenanjung Tanah Melayu semakin merosot apabila pelayaran di Selat Melaka menjadi lebih popular dalam kalangan pedagang kerana Kepulauan dari arah Selatan menjadi pusat pengumpulan emas, gaharu, kapur barus dan rempah ratus. Situasi ini menjejaskan sedikit perdagangan di sepanjang laluan Trans-Semenanjung. Keadaan ini menjadi teruk apabila berlaku perang serta penaklukan Chenla ke atas negarakota-negarakota melayu di Oc-eo sehingga ke Cahaya, serta kekacauan di Teluk Siam. Antara Negarakota yang terjejas akibat peralihan pola perdagangan ini ialah Langkasuka, Kedah, Beruas, Chih-tu (Negara Tanah Merah), Panpan, Khalatan, Foloan, Gangga Negara dan sebagainya.

Kewujudan negarakota-negarakota baharu yang menjadi rakan dagang kepada Kerajaan Tang pula menyebabkan keadaan ekonomi negarakota-negarakota di Pantai Timur dan Segenting Kra bertambah buruk. Kebanyakan negarakota di Asia Tenggara dan Kepulauan Melayu menjalinkan hubungan dagangan yang tersendiri dengan Kerajaan Tang, sebelum Tahun 670 M. Kewujudan nama-nama negara baharu dalam rekod Tang seperti Po-luo, Duo-po-deng, Duo-He-luo, Tou-huan, Tan-ling, Duo-mo-chang, Kha-ling, Ming-mie, dan Lou-cheng menunjukkan ada hubungan dagangan antara Negara Tang dan Negarakota-negarakota tersebut sebelum polisi baharu perdagangan diwujudkan oleh Kerajaan Tang.

Pada Pertengahan Kurun ke-7 M, negarakota-negarakota melayu di Pantai Timur dan Segenting Kra menerima ancaman yang sangat dahsyat dari Kerajaan Chen-la. Mengikut rekod Tang berkenaan Chen-la, Negara Chen-la telah menyerap sepenuhnya Kerajaan Funan ke dalamnya. Selain itu, Kerajaan Duo-he-luo (Mungkin di Takola atau Takuapa) bersempadanan dengan Timur Chen-la dan Selatan dari Pan-pan. Ini menunjukkan Chen-la telah mula mempengaruhi Dvaravati dan Pantai Timur Segenting Kra. Negara Funan baharu di Selatan Pan-pan telah diancam dengan dahsyatnya dengan kehadiran Chen-la di sana. Hipotesis saya, Chen-la Laut (Water Chen-la) telah mula menjadikan negarakota-negarakota pelabuhan di Langkasuka, Tambralingga dan Kha-la-tan sebagai Vassal kerajaannya.

Oleh yang demikian, negarakota-negarakota melayu yang lain telah mengadakan suatu persidangan dan perancangan untuk merebut kembali tanah air mereka dari pengaruh Chen-la. Chen-la memiliki tentera darat yang hebat, tetapi lemah dari segi ketenteraan laut. Ini menjadi suatu kelebihan kepada negarakota-negarakota melayu untuk mengalahkan Chen-la, dengan syarat mereka perlu bersatu. Ajaibnya, melalui rundingan diplomatik, Negarakota-negarakota melayu di Segenting Kra dan Pantai Timur telah mencapai suatu persetujuan dan membentuk sebuah Kerajaan Persekutuan yang diketuai oleh Seorang Yang Dipertuan Agung atau digelar sebagai Dapunta Hyang. Antara negarakota yang mungkin terlibat ialah Chih-tu (Tanah Merah), Takola, Dan-dan, Fo-loan dan Kha-ling. Menurut hipotesis saya, Takola di Utara Kedah (Kataha), Dan-dan di Utara Terengganu, Foloan di Tengah dan Selatan Terengganu dan Kha-ling di Pahang. Kerajaan ini dibentuk di sebuah negarakota yang digelar Kota Jaya (Fo-she dalam pelat China) dan mengambil nama Berjaya atau Seri Berjaya (Srivijaya). Kerajaan ini digelar sebagai Shih-lih-Fo-shih atau Srivijaya dengan Pan-pan diangkat menjadi ketua mengenangkan pewaris Empayar Melayu Funan berada di sana.

Seterusnya, Persekutuan Srivijaya ini dengan mudahnya menewaskan wakil-wakil Kerajaan Chen-la dan menghalau Chen-la dari Tanah Melayu di Kha-la-tan, Tambralingga dan Langkasuka dan membentuk sebuah Kerajaan Persekutuan yang diperintah secara Thalarokrasi atau penggiliran Dapunta Hyang. Persekutuan Srivijaya yang dibentuk ini bermula dari Segenting Kra dan Pantai Timur Semenanjung. Dari arah Selatan pula terdapat Kerajaan Lo-cheng (Bintan) dan Temasik purba yang termasuk dalam hegemoni Kerajaan Malayu (nama asal kerajaan melayu) yang secara hipotesisnya mencadangkan Empayar Melayu ini meliputi Selatan Johor, Singapura, Kepulauan Riau-Lingga dan sebahagian Tenggara Sumatra. Kerajaan Malayu mungkin sebuah kerajaan yang dipelopori oleh Keturunan Melayu Laut (Orang Laut) hari ini. Dari arah Pantai Barat pula, Kerajaan Kedah menguasai Kerajaan Gangga Negara dan mungkin memanjang sehingga ke Krabi di Utara dan sehingga ke Klang bagi ke arah Selatannya. Sempadan dengan Kedah ke utara ialah Kerajaan Duo-he-luo yang ada dua Pulau iaitu Tuo-han dan Tan-ling. Tuo-han mungkin di Phuket dan Tan-ling di Ko Yao. Duo-he-luo pula berkemungkinan di Thai-Mueang.

Poli, sebuah kerajaan yang telah wujud sebagai salah sebuah kerajaan yang disebut dalam Catatan Sui mungkin bermula di Delta Muara Sungai Rajang telah memindahkan ibukotanya ke Muara Sungai Brunei di Zaman Tang. Sebab Poli memindahkan ibukotanya masih menjadi misteri. Mungkin mereka menghadapi ancaman dari Pribumi garang yang turun dari hulu Sungai Rajang seperti Kaum Melanau, Bidayuh mahupun Iban. Antara kaum asal yang ikut serta dalam perpindahan itu ialah Kaum Melayu Brunei, Bisaya dan Dusun. Tiada catatan khusus yang boleh dikaitkan dengan pemindahan tersebut, melainkan catatan Tang yang menyebut ibukota Poli terletak di Tenggara dari Lin-yi (Champa) dan untuk sampai ke Poli, perlu melalui Pan-pan, Chishi (Chih-tu?) dan Dan-dan. Maknanya, dari Guangzhao, pedagang perlu melalui Teluk Siam terlebih dahulu ke Kelantan dan Terengganu sebelum menggunakan arus laut China Selatan ke arah Borneo. Dalam catatan Sui pula, besar Poli dari Timur ke Barat mengunjur perjalanan selama 4 bulan dan dari Utara ke Selatan hanya 45 hari, ke arah baratnya terletak kerajaan Kha-ling. Begitulah politi-politi kerajaan melayu yang dapat dikesan, namun ia berkemungkinan tidak tepat dengan peristiwa sebenar, kerana terputus banyak rujukan-rujukan sejarah.

Rujukan:

1.      2014, Geoffrey Goble, Maritime Southeast Asia: The View From Tang–Song China, The Nalanda-Sriwijaya Centre, Institute of Southeast Asian Studies (ISEAS)
2.   2012, Suzuki Takashi, The History of Srivijaya: Under The Tributary Trade System of China, JPCA
3    3. 2011, The Early Interaction between South and Southeast Asia, Reflections on Cross-Cultural Exchange, Institute of Southeast Asian Studies.