Chih-tu : Empayar Melayu Yang Kemerahan dan Gilang-Gemilang
Yang-ti memanggil pembesar-pembesar istana Sui datang
mengadap. Baginda amat bercita-cita untuk menakluki dunia sebelah Utara dari
empayarnya, setelah berjaya menundukkan Negara Dai (Viet) dan sebahagian Champa.
Namun begitu, baginda amat bercita-cita untuk menakluki
negara Goguryeo, sebuah Kota Maritim di Semenanjung Korea. Lalu baginda
menghantar pegawai-pegawai kepercayaan baginda untuk membuat hubungan diplomasi
dengan negara yang sangat kaya di Asia Tenggara iaitu Chih-tu bagi membiayai
kempen perang di Goguryeo.
Chih-tu merupakan sebuah negara kota yang sangat kaya raya.
Kekayaan negara ini terkenal seantero dunia kerana negara ini mengawal kawasan
perlombongan emas dan perdagangan di Timur dan Barat Selat Melaka. Namun begitu
negara ini sering diancam oleh negara-negara lain yang menjadi pesaing kepada
negara ini. Antara negara yang paling dahsyat mengancam ialah negara Chen-la. Chen-la
yang telah berjaya menghalau Rudravarman serta keluarga diraja Funan yang
berbangsa melayu tidak berjaya memusnahkan seluruh empayar Funan apabila Raja
Funan dirajakan di Pan-pan dengan seluruh kekuatan armada Funan merantai
seluruh lautan dan kepulauan yang wujud di Teluk Siam, Chen-la tidak dapat
meneruskan kemaraannya ke Selatan lagi dari Pelabuhan Oc-eo. Natijahnya,
Dvaravati pula mengisytiharkan mereka merdeka dari belenggu Chen-la.
Namun begitu, dalam laporan Kronik Tang (Tang-shu), Chen-la
telah menyerap semua bekas jajahan Funan. Mungkin Chen-la yang mempunyai
kekuatan tentera darat yang kuat berjaya menakluki semula Dvaravati dan
Kerajaan Mon tersebut mengikuti arahan Chen-la. Kerajaan-kerajaan di Seluruh
Segenting Kra pula berjaya memerdekakan diri dari belenggu Chen-la dan
mengikuti telunjuk ‘Funan’ baharu yang dirajakan di Pan-pan. Pan-pan yang
asalnya sebagai Kota Para Pendita (Brahman) yang hanya menggunakan tembok kayu
dan askar yang tidak dilengkapi alat kelengkapan moden, berubah menjadi sebuah
Kota Maritim yang kuat dengan kelengkapan moden yang dibekalkan oleh Tentera
Laut Funan. Oleh yang demikian, Pan-pan menghantar utusan ke Dinasti Liang pada
tahun 551 dengan rajanya berasal dari Funan atau dari Jalur Keturunan Varman.
Kita perlu ingat, bahawa tradisi raja-raja melayu ini ialah,
pembesar atau raja bawahan akan membuka dahulu sesebuah negeri, baru raja akan
ditabalkan kemudian jika negeri tersebut sesuai. Semasa pentadbiran raja
bawahan, negeri tersebut tidak terlalu berkembang pesat. Namun, setelah pewaris
raja yang asal ditabalkan (seperti kes Demang Daun Lebar dan Seri Teri Buana),
Negeri tersebut akan berkembang dari sebuah pelabuhan kecil atau kota kecil
menjadi kota pelabuhan utama. Apabila Pan-pan menjadi negara yang ditabalkan
raja besar, ia bertukar menjadi emporium. Pan-pan yang menjadi sebahagian
daripada Funan sebelumnya, bertukar memainkan peranan sebagai pusat
pemerintahan empayar Funan. Justeru, Raja-raja Funan dan Pan-pan silih berganti
muncul namanya menghantar utusan penguftian dan perdagangan dengan negara China
sehingga pertengahan abad ke-7M.
![]() |
Jangkaan Kerajaan-kerajaan di Tengah Semenanjung kurun ke-7 M |
Kemunculan kuasa dunia di Segenting Kra ini berjaya
menghalang Chen-la dari menjarah kawasan melayu. Namun begitu, Kerajaan yang
sedia ada iaitu Kerajaan Kedah (Kan-da-ri) dan Langkasuka (Lang-Hya-Shu) yang
wujud di Selatan Segenting Kra terasa terancam dengan kehadiran emporium Funan
yang telah menyerap seluruh Tun-sun, iaitu dari Martaban sehingga ke Takola,
membentuk wilayah yang besar dan kuat. Lalu, Kerajaan Kedah dan Langkasuka
bergabung di bawah satu empayar yang menjadi negara persekutuan pertama yang
wujud dengan menggunakan bendera Sang Saka Merah Putih, membayangkan tanahnya
yang kebanyakannya berwarna merah dan kota-kota pentadbiran dan candi-candi
yang berwarna merah. Kewujudan empayar persekutuan ini dinamakan Empayar Tanah
Merah yang diwujudkan pada tahun 568M atau pada tahun 490 saka dengan Raja dari
Wangsa Chudam (Gautama). Mungkin Chudam ini adalah nama keluarga yang sama
seperti Merong. Namun begitu, empayar Tanah Merah (Chi-tu) ini tidak
berhubungan dagangan dengan Empayar Chin kerana empayar Chin lebih meyakini
Pan-pan dan Funan daripada kewujudan Chih-tu, walaupun sebelumnya, Kandari dan
Langkasuka pernah menghantarkan utusan ke istana Chin. Chih-tu juga menjalinkan
hubungan yang baik dengan negara Pan-pan (Funan), Kha-la-tan dan Fu-nan.
Namun setelah kejatuhan Dinasti Chen, muncul pula dinasti
Sui yang sangat agresif. Dinasti Sui pula menyerang, menjarah dan menakluki
wilayah-wilayah Champa (Lin-yi), yang kita tahu mempunyai hubungan yang sangat
baik dengan Funan (wangsa Varman) sejak Funan menguasai seluruh Sungai Mekong
dan Dataran yang sangat luas di Indochina. Oleh yang demikian, Yang-ti tidak
boleh membuat hubungan dagangan dengan Pan-pan secara langsung. Justeru itu,
Yang-ti telah mengumpulkan seluruh menteri, sida-sida dan bijak pandai yang
wujud dalam istana Sui untuk membincangkan mengenai negara dagangan yang
penting untuk mereka hubungi untuk meningkatkan pendapatan negara Sui,
seterusnya dapat membiayai projek-projek mega di negara Sui seperti Terusan
Besar (Grand Canal) dan membiayai perang di Goguryeo.
Setelah selesai berbincang, maka mereka memilih negara
Chih-tu, sebuah negara yang berstatus empayar persekutuan untuk mereka hubungi
bagi meningkatkan lagi hubungan dagang dengan negara di Laut Selatan. Chang
Chun, Penasihat Harta Ketenteraan dan Wang Chun-Cheng, Pengawal Sumber
Semulajadi telah dipilih untuk mengetuai utusan ke Negara Sui untuk menjalinkan
hubungan dagangan. Negara Chih-tu sudah terkenal sejak zaman Chin lagi. Masakan
tidak, semasa Sui hendak membuat perhubungan dengan negara Chih-tu, mereka
telah tahu bahawa Raja yang memerintah (Gautama Wijaya atau Chu-tan
Li-fu-to-she) sudah menaiki takhta selama 16 tahun.
Apa yang menarik mengenai Chih-tu ialah ia dikenali sebagai
satu kerajaan seperti Funan, atau sebahagian daripada Funan. Namun, ia membesar
sehingga beberapa ribu li dan tanah keseluruhannya berwarna merah, yang mana
kebiasaannya warna tanah merah ialah kawasan tanah laterit, iaitu kawasan tanah
tinggi di Semenanjung Malaysia. Malangnya, kawasan tanah laterit di Malaysia
terlalu banyak dan mengunjur sepanjang semenanjung Malaysia, menyukarkan
pencarian ibukota Chih-tu dilakukan. Apa yang pelik melalui rekod Sui, Rajanya
tidak mengetahui apa-apa berkenaan dengan negara bersebelahan atau negara yang
jauh, namun rajanya telah membuat hubungan diplomatik dengan raja-raja
bersebelahan melalui perkahwinan, di mana isteri-isteri baginda seramai tiga
orang dari tiga kerajaan yang berjiranan. Mungkin rajanya tidak mengetahui
besar atau luas sebenar kerajaan-kerajaan bersebelahan, tetapi Chih-tu yang
kaya-raya telah menjalinkan hubungan yang akrab dengan kerajaan-kerajaan besar
lain seperti Pan-pan, Kha-la-tan dan Tan-tan.
Mungkin Chih-tu berjaya menyerap Kha-la-tan dan Tan-tan
selepas kehadiran utusan dari Dinasti Sui yang nyata lebih besar dan kuat kuasa
tenteranya. Ibukota Chih-tu sangat besar, dengan pelbagai kekayaan yang
menunjukkan lagi kemegahan kotanya. Dengan Pintu gerbang tiga lapisan, setiap
satu lapisan berjarak lebih 100 kaki membuktikan kewujudan sebuah Negarakota
yang makmur dan kaya-raya. Setiap satu gerbang diwarnakan dengan warna ‘spirits
in flight’, boddhisattvas dan immortal yang lain, dan digantung dengan
bunga-bunga emas dan loceng kecil. Memang sukar untuk membayangkan Kota
Eldorado atau Shangri-la yang telah hilang ini. Setiap gerbang ada 10 orang
perempuan , sama ada bermain muzik atau memegang bunga emas. Terdapat empat
orang hulubalang yang menjaga setiap gerbang. Pintu gerbang membayangkan
kekayaan sesuatu empayar, apatah lagi pintu gerbang yang indah dililiti
bunga-bunga emas yang sanagt bernilai tinggi. Sememangnya, Chih-tu sangat
kaya-raya. Setiap bangunan di istana diraja terdapat beberapa pavilion (anjung)
dengan pintu menghadap ke utara. Maharaja Empayar Tanah Merah biasanya memakai
baju berwarna merah ros dan bersemanyam di atas singgahsana yang setinggi tiga
tingkat, mengenakan rantai kepala (chaplet) yang diperbuat dari bunga emas
serta rantai leher yang dipenuhi dengan pelbagai permata. Empat orang hulubalang
di kiri dan kanan baginda, dan lebih seratus pengawal yang mengawal baginda.
Di belakang singgahsana pula, diletakkan tokong kecil yang
diperbuat daripada kayu tetapi bertatahkan emas, perak dan lima jenis kayu
gaharu, manakala di belakang tokong tersebut diletakkan lampu berwarna emas. Di
sebelah singgahsana, diletakkan dua cermin yang diperbuat daripada logam.
Sebelum cermin, diletakkan dua kendi logam dan dupa emas yang berasap kemenyan
atau setanggi di sebelahnya. Di hadapan semua perkakasan tersebut, terdapat
sebuah arca kerbau emas yang dibaringkan dan sebelumnya terdapat kanopi yang
bertatahkan ratna mutu manikam, dengan kipas yang sangat mahal di kedua-dua
hujung kanopi. Terdapat beratus-ratus Brahman yang duduk berhadapanan antara
satu sama lain, menghadap ke kiri dan ke kanan.
Empayar Tanah Merah sememangnya suatu ketamadunan yang
lengkap dengan sistem pemerintahan yang baik dan berkesan. Maharaja melantik
banyak menteri-menteri untuk membantu baginda mentadbir. Melalui Sui-shu,
pegawai di istana Chih-tu ialah seorang Sa-to-chia-lo (Sadhukara atau
Bendahara), dua orang To-na-ta-yu (mungkin Dhanada yang bermaksud pemancar
keampunan, mungkin ini Hakim yang mana jawatan yang sama juga dijumpai di
Funan), tiga orang Chia-li-mi-chia (Karmika yang bermaksud agen) yang
bertanggungjawab dalam perhubungan politik, seorang chu-lo-mo-ti (kulapati yang
bermaksud ketua rumah, yang juga wujud sejak dari zaman Funan) yang
dipertanggungjawabkan mentadbir undang-undang jenayah. Setiap kota pula
diwakili oleh seorang Na-ya-chia (Nayaka yang bermaksud pembimbing atau
‘guide’) dan 10 orang Po-ti (Pati yang bermaksud ketua). Kehidupan masyarakat
Empayar Tanah Merah diwarnai dengan pelbagai kebudayaan dan ketamadunan tinggi
seperti adat perkahwinan, kematian, kelahiran dan perhubungan sosial serta ada
kelas sosial yang tersendiri. Di zaman ini, masyarakat melayu telah bertindik
telinga dan memotong rambut menunjukkan adanya perkembangan fesyen dalam
masyarakat.
Projek perhubungan dagangan antara Sui dengan Chih-tu sememangnya
suatu projek besar yang dirancangkan oleh Yang-ti. Baginda memerintahkan Chang
Chun membawa sutera 200 gulung (seorang seratus) dan 5,000 pelbagai barangan
lain sebagai hadiah kepada Maharaja Chih-tu. Perhubungan dagang yang besar ini
dimulakan oleh Dinasti Sui di China, dan bukan dari Tanah Melayu. Sudah
semestinya kapal kargo atau jong yang terbaik dan terbesar digunakan untuk
datang ke Tanah Melayu dan perhubungan antara Dinasti Sui dengan empat
kerajaan-kerajaan yang wujud di Asia Tenggara pada masa itu tidaklah serancak
hubungan dengan Kerajaan Chih-tu atau Bumi Merah yang sangat kaya dengan emas
dan besi.
Perlu diingat bahawa, empat buah kerajaan yang disebut dalam
Sui-shu ialah Lin-yi (Champa), Zhen-la (Chenla), Chih-tu (Tanah Merah) dan Po-li
(Buni atau Burnie). Walaubagaimanapun, hanya Chih-tu sahaja yang betul-betul
dihubungi oleh Chang-chun untuk membuat hubungan dagang, menunjukkan bahawa
empayar Tanah Merah tersangat penting berbanding empat empayar yang lain.
Menurut kedudukan geografi Chih-tu yang tercatat dalam
pelbagai sumber catatan dari China seperti Sui shu, Tung tien,
Tai-ping-huan-yu-chi, Pei-shih, Xin Tang shu dan Chiu Tang shu, Chih-tu sangat
mungkin berada di Pantai Timur semenanjung Tanah Melayu dan mengunjur ke tengah-tengah
atau mepelasi banjaran titiwangsa.. Di Utara Chih-tu menghadap ke lautan, ke
Timurnya pula ada negara Bo-lo-la (Po-lo-cha dari teks Tung tien) dan di
baratnya negara Po-lo-suo (Lo-po dari teks Tung tien) dan merentasi lautan di
sebelah Barat Lautnya boleh sampai ke Negara Po-lo (Xin Tang Shu dan Chiu Tang
Shu). Di Selatan Chih-tu terletaknya Kerajaan Kha-la-tan. Negara Chih-tu juga
terletak betul-betul di Selatan Yai-chou. Dalam rekod Taiping Huan Yu Chi
berkenaan dengan negara Chin-li-pi-shih, Kerajaan Chin-li-pi-shih terletak
lebih 40,000 li ke arah Barat Daya ibukota. Seseorang akan melepasi negara
Tan-tan (ke negara tersebut) dan ke barat (Chin-li-pi-shih) dengan jarak 1,500
li dari Kerajaan Tanah Merah. Dalam catatan Sui shu dan Pei shih berkenaan
dengan Po-li juga ada dinyatakan bahawa dari Chiao-chih (Tongking), belayar ke
arah selatan, seseorang akan melepasi Chih-tu dan Tan-tan, dan akan sampai ke
negara (Po-li) tersebut. Dalam Tung tien juga ada disebutkan bahawa apabila
musim sejuk, bayang-bayang terbentuk terus ke bawah dan apabila musim panas,
bayang-bayang akan terbentuk ke arah selatan.
Kembali kepada perjalanan Cang Chun dan Wang Chun-cheng,
mereka bertolak dari bulan ke sepuluh (November ke Disember) pada tahun 607M
daripada Nan-hai (Kanton), setelah belayar selama 20 hari dalam angin yang
sesuai (Monsun Timur Laut), mereka sampai ke Pergunungan Chiao-shih (Batu
Berapi?), kemudian bergerak ke arah Tenggara, mereka berlabuh pula di Pulau
Ling-chieh-po-pa-to yang menghadap ke arah Lin-yi yang terletak di arah Barat
pulau tersebut. Mereka kemudiannya belayar ke arah selatan sehingga ke
Shih-tzu-shih (Batu Singa?), kemudian mereka meneruskan perjalanan merentasi
rantaian pulau kecil dan besar, setelah belayar selama dua ke tiga hari, mereka
terlihat Gunung-gunung Lang-ya-hsu (Langkasuka). Kemudian mereka meneruskan
perjalanan ke arah selatan sehingga sampai ke Pulau Chi-lung (sarang ayam?) dan
akhirnya sampai ke sempadan Negara Chih-tu.
Berdasarkan pelayaran mereka, dari Canton (Guangzhou), ambil
masa selama 20 hari untuk sampai ke kawasan pergunungan Chiao-chih yang
terletak di timur Champa, kemudian mereka singgah di sebuah Pulau yang berada
di perairan Champa atau Vietnam hari ini, ke arah tenggara dari Pergunungan
Marble yang berada di pinggir pantai Vietnam. Kemudian mereka belayar ke arah
selatan, mengikuti arus lautan yang membawa mereka ke perairan Langkasuka, yang
menjadi sebahagian daripada Funan di masa itu. Rantaian pulau kecil dan besar
berkemungkinan kawasan kepulauan di Koh Samui dan gunung Langkasuka ialah
pergunungan Bang Luang yang wujud pada hari ini di kawasan Nakhon Si Thammarat.
Mereka seterusnya belayar ke selatan lagi dan sampai ke Pulau Sarang Helang.
Tidak dapat dipastikan Pulau yang wujud di Pattani, namun saya beranggapan
Pulau Sarang Helang itu telah bercantum dengan tanah besar Pattani kerana
pembentukan delta yang meluas di kawasan dataran delta pattani.
![]() |
Laluan Trans-Semenanjung (Rujukan: The Golden Khersonese) |
Muara kerajaan Chih-tu terletak di Muara sungai Pattani,
yang mana Sungai Pattani adalah antara salah satu jalan trans-semanjung yang
wujud di zaman dahulu, yang boleh tembus ke Sungai Perak, melalui kawasan Hutan
Simpan Bang lang, Royal Belum dan tembus ke Gerik. Gerik adalah laluan
pedalaman yang penting kerana menjadi titik pertemuan saudagar-saudagar dan berkemungkinan
terdapat kawasan R&R di situ suatu masa dahulu. Mungkin ibukota kerajaan
Chih-tu terletak berhampiran dengan Pantai Barat, di Dataran Hilir Sungai
Perak. Ini kerana tanaman utama Chih-tu ialah padi dan tebu, yang mana
kedua-duanya memerlukan kawasan penanaman yang luas. Negara berjiranan dengan
Chih-tu di sebelah baratnya ialah Po-lo-suo dan di sebelah kirinya Bo-lo-la.
Sukar untuk dipastikan negara apa kerana tiada dalam rekod-rekod lain,
melainkan hanya dalam rekod Sui shu dan Tung tien sahaja. Mungkin sahaja nama
negara tersebut adalah negara kecil yang tidak berinteraksi secara langsung
dengan negara luar kerana tertakluk di bawah penguasaan Chih-tu. Po-lo-suo
mungkin berkaitan dengan Pulau Serai atau Gunung Jerai, manakala Bo-lo-la
adalah Negara di Narathiwat hari ini. Kha-la-tan di selatan Chih-tu ialah
Negara Kelantan hari ini dan sebuah negara lain yang boleh dikunjungi jika kita
merentasi lautan dari arah Barat Daya Chih-tu ialah Negara Po-lo, yang terletak
di Pulau Sumatra, berkemungkinan Negara Po-lo ialah di Kota Panai (Pane) yang
telah dikenali dari zaman dahulu lagi.
Rujukan:
1)
2014, Geoffrey Goble, Maritime Southeast Asia: The View
From Tang–Song China, The Nalanda-Sriwijaya Centre, Institute of Southeast
Asian Studies (ISEAS)
2)
2012, Suzuki Takashi, The History of Srivijaya: Under
The Tributary Trade System of China, JPCA
3)
1961, Paul Wheatley, The Golden Khersonese, University
of Malaya Press.
Ulasan
Catat Ulasan