Pan-pan -Dari Sebuah Kerajaan Naungan Kepada Sebuah Empayar

Kemunculan Pan-pan adalah suatu misteri yang berpanjangan apabila negara tersebut tiba-tiba menghantar utusan ke China (Dinasti Song Selatan) pada tahun 424 M dan berterusan sehingga tahun 453M. Pan-pan adalah sebuah negara naungan bagi Empayar Funan. Dipercayai Pan-pan dibuka semula oleh Raja Funan ketiga yang bernama Pan-pan. Baginda menuruni takhta Funan dan menyerahkan Takhta kepada Fan-shi-man, ketua panglima Funan di zamannya.

Tiga tahun selepas ditabalkan, Pan-pan dikatakan telah mangkat dan takhtanya diberikan kepada Pan-shi-man. Hipotesis saya, Sesuatu sebenarnya telah berlaku. Pan-pan berjaya melarikan diri ke Tun-sun dan membuka negara Pan-pan. Pada masa yang sama, Pan-shi-man yang telah menguasai takhta Funan membina ketumbukan tentera laut yang kuat dan menawan Pan-pan, seterusnya dijadikan negara naungan Funan. Mungkin Fan-shi-man tidak membunuh Pan-pan yang telah membuang segala kekayaannya untuk menjadi sami di Pan-pan. Pan-pan menjadi Bandar Suci Agama Buddha pertama dalam alam melayu.

Sumber Gambar: FB Sri Wichai Mala

Pan-pan adalah bandar agama dan ilmuan pertama yang wujud. Di sana, semua raja-raja dan sami-sami akan belajar pelbagai ilmu agama dan pengetahuan sebelum ditugaskan di negara-negara bawahan Funan. Keadaan ini menjadikan Pan-pan pada asalnya bukan sebuah Kota penting untuk ditawan melalui kekayaan pelabuhannya, tetapi ia merupakan pusat penyebaran agama Buddha dan pusat keilmuan melayu.

Menurut Tong-dian, terdapat 11 buah Candi atau Wat di Pan-pan, menunjukkan betapa pentingnya Pan-pan sebagai pusat penyebaran agama Buddha dan bukanlah kota yang menyimpan kekayaan. Menurut Tong-dian lagi, Tentera Funan hanya menggunakan lembing yang diperbuat daripada batu (Primitif) dan tiada tembok batu mahupun kayu yang mengelilingi Pan-pan. Keadaan ini menyebabkan saya berpendapat bahawa Pan-pan bukanlah Kota Kekayaan pada mulanya.

Namun begitu, keadaan ini berubah selepas Ketua Sami di Pan-pan iaitu Qiao-Chen-Ru (Kaundinya II) yang berkemungkinan leluhur Pan-pan, Raja Funan yang asal dijemput untuk menjadi Raja di Funan. Dengan pentadbiran yang lebih alim, dan naungan Tentera Laut Funan ke atas Pan-pan, Kaundinya II mengarahkan utusan yang dihantar ke China berselang-seli antara Funan dengan Pan-pan. Keadaan ini bermula pada 424 hingga kejatuhan Funan ke tangan Chenla. Namun, Funan masih lagi menghantar utusan selepas menaklukan Chen-la ke atas Funan, juga secara berselang-seli dengan Pan-pan. Misteri ini masih berterusan dan masih tiada sesiapa pun yang dapat merungkaikan misteri ini sehingga ke hari ini.

Selepas kejatuhan Rudravarman di Funan, perang agama antara Hindu Siva (Chen-la) dan Buddha Mahayana (Funan, Pan-pan dan negarakota-negarakota di Selatan Pan-pan) diteruskan di Funan sehingga semua monumen dan jejak tapak kaki Buddha semua dimusnahkan di Lembangan Sungai Mekong. Bhavavarman yang mengalahkan Rudravarman bertindak mengejar baginda sampai ke Pan-pan tetapi tidak berjaya menewaskan angkatan laut Funan yang ketika itu berada di Pan-pan. Lalu, Bhavavarman dan Chitrasena menguatkan pertahanan sedia ada Funan (yang asal) dan menakluk seluruh negara Funan atas nama Chen-la.

Walaubagaimanapun, Raja Funan masih survive dan berkemungkinan terdapat penggiliran raja di Pan-pan sehingga awal kurun ke-7 M. Sepanjang pemerintahan Raja Funan dan Pan-pan di Pan-pan, Pan-pan meluaskan kekuasaan dan menguasai pelabuhan di Timur (Chaiya) dan Barat (Takuapa).

Pada kurun ke-5 dan 6, Muncul beberapa buah kerajaan di Selatan Funan yang turut menghantar utusan ke negara China. Kerajaan-kerajaan tersebut ialah Kha-la-tan, Kandari, dan Pohang (Pa-ta). Pada zaman itu, China menukar polisi perdagangan laluan darat (melalui Yunnan, Chenla dan Funan) kepada perdagangan laluan sutera laut. Oleh yang demikian, Champa yang menjadikan tradisi maritim sebagai sumber ekonomi utamanya bertambah kaya dan membuka dua buah pelabuhan lagi di selatan Myson iaitu di Kauthara dan Panduranga, dan menjadi pelabuhan terpenting di zaman itu.

Menyedari kepentingan perhubungan dagangan maritim, Funan menggunakan Pan-pan sebagai pusat pelabuhan keduanya selepas Oc Eo, di Teluk Siam dan berusaha untuk menguasai semua laluan trans-semenanjung yang wujud di Segenting Kra. Dalam kesibukannya untuk menguasai negarakota-negarakota yang wujud secara bersendiri seperti Kandari, Langkasuka, Kha-la-tan dan sebagainya, Bhavavarman dan Chitrasena, cucunda kepada Rudravarman sendiri yang berpusat di Chenla menyerang dan menawan Funan.

Rudravarman yang dalam misinya di Segenting Kra terus menetap dan membuat Kotanya di Pan-pan selepas dikhabarkan mengenai kejatuhan pemerintahan baginda di Funan. Pan-pan yang menjadi bandar suci agama Buddha sekian lama di zaman Funan, berubah menjadi markas tentera laut Funan, yang menukarkan Pan-pan menjadi negara bersama dengan Funan. Hipotesis ini mungkin pelik kerana dua orang raja berkongsi negara yang sama. Namun, Rudravarman menjadi Raja Atasan dan Ketua Sami asal di Pan-pan menjadi raja bawahan. Lalu, Funan dan Pan-pan masih mengirimkan utusan secara berselang-seli sehingga ke tahun 650 (lebih kurang 100 tahun selepas penaklukan Funan oleh Bhavavarman).

Walaubagaimanapun, berkemungkinan ufti yang dihantar ke China menggunakan nama Funan dibuat oleh Bhavavarman, manakala Chitrasena menghantar utusan dari Chenla. Terdapat pertukaran dinasti antara Rudravarman dengan Bhavavarman. Bhavavarman juga adalah jalur dari raja-raja melayu Funan. Nama Funan berakhir selepas kemangkatan Isanavarman, kerana Bhavavarman II memulakan dinasti baru Khmer di Muara Sungai Mekong.

Sebelum kita membuat apa-apa kesimpulan mengenai kedudukan Pan-pan, berikut adalah catatan luar berkenaan dengan Pan-pan:

1)      I-ching (Yi Jing) menyatakan bahasa  Pan-pan termasuk dalam negara-negara di Lautan Selatan yang memeluk agama Buddha, sesudah Tan-tan.
2)      I-ching juga menyatakan bahawa Tan-yuen berangkat dari Chio-Chih (Tongkin), tetapi meninggal dunia di Pan-pan, di sebelah utara Kha-ling.
3)      Chiu Tang Shu mengyatakan bahawa Pan-pan terletak di sebelah barat daya Lin-yi (Champa), di sudut laut. Di sebelah utara terpisah oleh laut sempit dengan Lin-yi. Dari Chio-chou letaknya kira-kira 40 hari pelayaran. Negeri ini bersempadanan dengan Lang-Hyia-hsiu.
4)      Negara Tou-ho-lo (Dvaravati) di sebelah selatan bersempadanan dengan Pan-pan, di sebelah utara dengan Kia-lo-sheh-fu, di sebelah Timur dengan Chen-la. Dan di sebelah barat dengan laut besar. Dari Canton, letaknya sejauh lima bulan perjalanan.
5)      Tung-tien menyatakan bahawa Ko-lo atau Ko-lo-fu-shao-lo, menurut huraian dinasti Han, terletak di Tenggara Pan-pan.

Oleh itu, Pan-pan bukanlah Tan-tan kerana mereka wujud bersama. Pan-pan berkemungkinan besar bermula di Chaiya dan terletak di Khao Si Wichai (Gunung Sri Vijaya). Selepas kedatangan Rudravarman, baginda berkemungkinan membina semula Kota Funan di antara Pan-pan dengan Langkasuka, menjadikan Kota Pan-pan dan Funan berada dalam sebuah negara yang sama. Baginda membangunkan semula Negara leluhur baginda yang dikenali sebagai Ligor atau Grahi. Melihat kepada kepesatan pembangunan laluan Trans-Semenanjung antara Takuapa dan Satthingpra yang dikuasai oleh Pan-pan dan Funan, Langkasuka yang terletak Selatan sedikit dari Funan baru membentuk sebuah persekutuan baharu dengan Kandari iaitu Persekutuan Tanah Merah (Chih-tu). Kewujudan Prasasti Buddhagupta di Lembah Bujang menjadi bukti primer kewujudan Raktamrittika atau Empayar Tanah Merah yang menaungi satu laluan lebuhraya purba yang menghubungkan Kedah (Kandari) dengan Langkasuka (Mungkin di Pattani hingga Sungai Kelantan), manakala Tan-tan yang terletak ke Selatan dari Chih-tu menjadi vassal kepada kerajaan ini. Semasa kewujudan Chih-tu, berkemungkinan Pan-pan dan Funan juga menjadi vassal kepada empayar Chih-tu.

Kemudian, pada tahun 616, Pan-pan, Funan dan Tan-tan muncul kembali dan lenyapnya penguasaan Chih-tu ke atas mereka. Pada tahun 640, munculnya kerajaan Kha-ling yang menghantar ufti ke negara China. Ramai sarjana yang mengatakan Kha-ling terletak di Jawa Tengah kerana ditimurnya ada kerajaan Po-li dan di kanannya ada kerajaan Duo-po-deng (Tarumanegara). Namun, menurut Xin Tang Shu, Semasa Solstis musim panas, panjang bayang-bayang dari 8 chi bongkah tegak menjadi 2 chi dan 4 chun. Pernyataan ini menjadikan Kha-ling berada kira-kira 60 ke Utara yang letaknya di antara Kelantan dan Songkhla. Mungkin Kha-ling yang dinyatakan oleh Rekod Tang ini ialah Kerajaan Kalinggavarman yang muncul di zaman Sailendra kelak? Namun, mungkin kewujudan Kha-ling ini menjadi saingan kepada hegemoni Funan di Asia tenggara.

Kemudian, pada tahun 644, muncul pula kerajaan Malayu yang menghantar ufti ke Negara China. Kerajaan Malayu ini berkemungkinan kerajaan yang sama dengan kerajaan Malayu yang dikunjungi oleh Yi Jing pada tahun 671 M. Letak pelabuhannya mungkin sekali di Selatan Johor, di Selat Tebrau kini.


Kewujudan kuasa-kuasa baru dari selatan ini menyebabkan kuasa hegemoni Pan-pan (Funan) tercabar. Jadi, berkemungkinan Keturunan Funan yang membuka Negarakota di Ligor, bergabung dengan negarakota-negarakota lain seperti Pan-pan, Tan-tan, Chih-tu untuk membentuk Negara Srivijaya. Persefahaman ini wujud kerana mereka sama agama dan sama kaum kerabat. Tambahan pula, kewujudan empayar Srivijaya ini dimulakan dengan penggiliran raja-raja di antara negarakota-negarakota tersebut sebelum ia kelihatan seperti hanya satu keturunan sahaja di zaman Sailendra kerana kebijaksanaan Raja Sailendra menguasai politik negarakota-negarakota melayu. Kedah pula tidak bergabung dengan negara-negara ini pada awalnya kerana Kedah adalah negara leluhur kepada Dinasti Ligor dan Pan-pan, serta Kedah membangunkan empayarnya sendiri yang menaungi Lo-youe dan Gangga Negara, di Pantai Barat Semenanjung Malaya. Selepas keluar daripada Persekutuan Negara Tanah Merah, Kedah yang memiliki pelabuhan entreport dan industri melebur besi sendiri tidak mahu melibatkan diri dalam politik negarakota-negarakota di Pantai Timur Semenanjung dan mewujudkan blok kuasanya yang tersendiri.

Ulasan

  1. Menarik ulasan ini,kenapa Kerajaan Primula tidak disebut.....?
    begitu juga terengganu kuno....
    Mungkin ada hubungan....

    BalasPadam
  2. Menarik ulasan ini,kenapa Kerajaan Primula tidak disebut.....?
    begitu juga terengganu kuno....
    Mungkin ada hubungan....

    BalasPadam
    Balasan
    1. Itu berarti keraja,an Pan pan bukan berada di semenanjung.melainkan ianya berada di pedalaman sumatera di kisaran wilayah lampung barat #Pan_pan arti nya puas/lega identik dg daerah yg bernama #Luwas.

      Padam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Funan - Empayar Melayu Yang Gemilang

Istana Kesultanan Melayu Melaka Yang Asal, Tidak Logik di Bukit Melaka?

Strategi Portugis Menawan Melaka