Dari Kedah Tua, Jawaka, Kunlun kepada Pembentukan Funan

Kedah Tua dikenalpasti merupakan sebuah wilayah yang kaya raya dengan perdagangan besi keluli antara terbaik dunia, sejak kurun ke-5 S.M. lagi dan menjadi sebuah pelabuhan yang kaya raya. Tidak hairanlah jika banyak negarakota yang cemburu dan mahu menakluki Kedah, walaupun pelabuhan Takua Pa dan Tenasserim lebih utara daripada Kedah Tua, dan ada laluan rentas semenanjung (Trans-Peninsular) di sana. Dari Takua Pa atau dari Tenasserim, Kapal-kapal akan melalui laluan Rentas Semenanjung untuk menuju ke pelabuhan seterusnya iaitu di Ec Eo.

 

Namun, disebabkan permintaan besi keluli untuk senjata sangat tinggi menyebabkan Pelabuhan Kedah Tua di Sungai Batu menjadi sangat popular. Keadaan ini menjadikan Kedah Tua sasaran untuk dijadikan negara taklukan kepada empayar-empayar yang lebih hebat persenjataan, ketenteraan dan tentera laut mereka. Sejak Tahun 600 S.M. lagi, Kedah sentiasa terancam dengan serangan dan penaklukan dari pelbagai pihak yang mahu menguasai laluan perdagangan. Namun, Kedah Tua juga bukanlah sebuah negara yang lemah. Ia mampu bertahan dan mampu mengekalkan hegemoninya terhadap kawasan di Pantai Barat Semenanjung Tanah Melayu, dari serangan suku-suku di Pantai Timur, utara Kedah mahupun daripada Chenla.

Namun, di Delta Sungai Mekong, kira-kira 500li (200km) dari Muara Sungai Mekong, telah lahir suatu ketamadunan yang telah berjaya merubah lanskap politik di Asia Tenggara pada masa lalu. Seorang Ratu dari Kerajaan Kambujadesa, anakanda kepada Raja Naga telah menjadi pemerintah wanita di Kambujadesa. Suatu hari, seorang anak raja besar, keturunan Iskandar Yang Agung dari negara di Selatan telah datang membawa Busur Ajaib dan perahu layar-perahu layar yang besar. Lantas baginda telah dikahwinkan dengan anak raja tersebut. Peristiwa ini tercatat sebagai sejarah awal pembentukan Negara Funan, Kerajaan berkembar Melayu-Khmer.

 

Rekod Negara Funan dalam kronik Cina hanya dapat dikesan pada Zaman Dinasti Wu (222-280) kerana dinasti sebelumnya tidak menjalankan hubungan yang erat dengan negeri-negeri di Selatan China, dan tidak menarik perhatian China untuk berhubung dengan negara di Selatan China. Hanya selepas China menjalankan dasar perdagangan maritim, barulah negara-negara di Selatan China menjadi masyhur dan terkenal dalam kronik-kronik China.

 

K'ang T'ai dan Chu/Tchou Ying ialah dua orang utusan pertama yang dihantar oleh Maharaja Dinasti Wu ke Funan dalam tahun 245-250 M. Kisah mereka lebih kepada kisah lisan semata-mata sebelum ditulis oleh pengkaji sejarah di tahun kemudiannya. Mereka ibarat hero yang kembali dari penerokaan di Negara Selatan, dan kisahnya menjadi lagenda dalam kalangan rakyat China di masa itu. Oleh yang demikian, banyaklah versi penceritaan semula kisah pengembaraan K’ang T’ai dan Chu Ying ini.

Kisah pertama diambil daripada Cebisan Laporan K’ang T’ai pada Kurun ke-3 (yang disimpan dalam laporan yang lebih baharu): “Pemerintah sebenar Funan ialah seorang wanita yang bernama Liu-ye/Lieouye/*Iidu-iap. Hun/Houen-chen/* Уиэп ziěn, yang menyembah semangat, datang dari Mo-fou dengan busur ajaib, menundukkan Liu-ye, dan menjadi Raja pertama Funan. (Pelliot 1925-(3[6])).

Dalam Versi 2, dokumen III-(3[6]): Pemerintah sebenar ialah seorang perempuan iaitu Ye-LiuHunhouei/*Уиэп ?, orang asing yang menyembah semangat-semangat, mempunyai sebuah busur ajaib, mengikuti pedagang ke Funan, menundukkan dan mengahwini Ye-Liu.

Versi 3 pula, Dokumen V-(4[6]): Pemerintah sebenar ialah perempuan bernama Liu-ye. Hunt'ien/*Уиэп d'ien dari negara Ki datang dengan busur ajaib yang diperolehi dari semangat (pemujaan), mereka berkahwin.

 

Versi 4, dokumen VI-(6[7]): Di sana ada wanit yang menjadi pemerintah, Liu-ye. Hunt'ien/*Уиэп d'ien, yang menyembah semangat, datang dari Kiao di Selatan, dengan busur ajaib, menundukkan dan mengahwini Liu-ye. Baginda memerintah kerajaan tersebut, dan mengurniakan 7 kota kepada putranya (sebagai pemerintahan sendiri).

 

Menurut Pelliot (dalam risalah Michael Vickery), tiada sebarang bukti Hun-Tien datang dari India, dan tiada bukti yang baginda seorang Brahman. Nama baginda juga bukanlah Kaudinya seperti yang ramai orang percaya sejak dari mula-mula kronik ini ditemui. Dalam versi pertama, dinyatakan oleh Pelliot bahawa nama negara Mo-Fou adalah kesilapan menyalin yang biasa terjadi. Mo-Fou adalah karakter penulisan yang sepadan dengan Heng-Tie (Hun-T’ien). Tetapi, yang lebih menariknya, Heng Tie dilaporkan terletak ke Tenggara Yeou-po (Jawaka), dan kira-kira 5000 li dari India. Ini berpadanan dengan Pantai Timur Semenanjung Tanah Melayu.

 

Terjemahan Hun-T’ien kepada Kau-din-ya hanya sepadan pada huruf kedua iaitu Din. Hun lebih dekat dengan penggunaan nama-nama keluarga diraja melayu seperti Ku, Yang, Pau, dan mungkin nama Hun ni ialah Tun, nama diraja bagi alam melayu.

 

Selain itu, agama bagi Hun-T’ien ialah menyembah semangat-semangat, yang sememangnya tiada kaitan dengan Agama Hindu/Buddha (yang menyembah Tuhan). Hubungan Funan dengan India juga datang terkemudian, iaitu di Zaman Fan Chan (Anak Saudara Fan Shih Man), yang menjadi duta ke India, atau lebih tepat lagi ke Kalingga (Orissa).

 

Daripada keempat-empat versi itu, versi 2,3 dan 4 ada kesinambungan penceritaannya.

 

Versi2: Waris Ye-Liu dan Hun-houei memerintah.

Versi3: Anakanda dan cucunda Hun-T’ien dan Liu’ye memerintah sehingga kematian P’an-Huang.

Versi 4: Hun-T’ien dan Liu-ye ada seorang Putra yang dikurniakan 7 buah kota. Warisnya, Hun-p’an-houang memerintah semua kota tersebut, sebelum menghantar anakanda-anakanda dan cucunda-cucunda baginda untuk memerintah kota tersebut.

FUnan

Peta Hipotesis Zaman Funan

Seterusnya, daripada 3 versi tadi:

 

Versi 2: Waris Ye-Liu dan Hun-Houei menjadi lemah dan berhenti memerintah. Kemudian, Panglima Fan Hsun/Siun memulakan dinasti baru.

Versi 3: Apabila P’an-houang mati, rakyat memilih Panglima agung, Fan-Shih/Che-man sebagai raja. Selepas dia mangkat, Chan/Tchan, anak kepada kakaknya, bunuh waris Fan-Shih-Man dan menjadi Raja, sebelum Chan pula dibunuh oleh Chang/Tch’ang, anakanda lain Fan Shih Man. Kemudian, Jeneral Utama bagi Chan, Fan Hstin pula bunuh Chang, dan rakyat memilih Fan Hstin sebagai Raja. Peristiwa-peristiwa ini berlaku pada zaman Wu (222-280) dan Chin (265-419).

Versi 4: P’an-houang diikuti pula oleh anak keduanya, P’an-P’an, yang menyerahkan hal-hal negara kepada Jeneral Fan-man (sama seperti Fan-Shih-Man dalam versi lain). Selepas P’an P’an mangkat, rakyat memilih Fan-man sebagai Raja. Fan-man membina kapal-kapal yang besar dan menakluk negara-negara jirannya, termasuklah Tun-sun. Dia menggunakan Gelaran Raja Agung Funan (Great King of Funan).Kemudian, kisah selepas kemangkatan Fan-man iaitu peperangan dan bunuh-membunuh seperti versi di atas diceritakan sama dalam versi ini, hinggalah Fan Hsiin (Jeneral Chan) menaiki takhta.

 

Zaman pertembungan budaya dengan tamadun India hanya berlaku pada zaman Fan Chan, di mana Fuinan dan Kalingga ini menjadi negara kembar yang sangat erat. Fan Chan juga dipercayai membawa ajaran Sivaism ke Funan, hasil anutan di Kalingga. Hipotesis saya, selepas peristiwa penaklukan Chenla ke atas ibukota Funan, waris Raja Funan atau Sailendraraja membuka pula Kota Kalinggawarman di Semenanjung Tanah Melayu.

 

Berbalik kepada tajuk di atas, bangsa Funan adalah bangsa campuran melayu dari Hun-T’ien dan Liu-ye dari pre-khmer. Namun, ada juga sarjana yang menyamakan Liu-ye dengan “Willow leaf” atau daun kelapa (Nyiu), dan menyatakan bahawa Liu-ye ialah Orang Austronesia juga, sebangsa dengan Cham. Di Dataran Pedalaman Asia Tenggara, terdapat empat bangsa purba yang menghuni di sana iaitu Mon, Khmer, Pyu dan Melayu. Mon kebanyakkanya di Lembangan Chao Praya, Pyu pula di Lembangan Sungai Irrawaddy, Melayu dan Khmer menghuni Sungai Mekong dan Champa, satu lagi kerajaan kuno yang berdiri bersama-sama dengan Funan. Sememangnya, melayu adalah kelas pemerintah yang wujud di sana sebelum bangsa-bangsa lain mendapat autoriti yang sama untuk memerintah.

 

Negara asal bagi Hun-T’ien ialah Ki atau Kiao yang terletak di Selatan Oc-Eo. Jika terus ke Selatan, kita akan berjumpa dengan Kelantan dan Terengganu di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Mungkin tidak terlalu melampau jika saya mengatakan bahawa asal-usul Hun-T’ien ialah daripada Takhta Kerajaan Jawaka atau Kunlun. Apa yang dimengertikan berkenaan dengan Kunlun, ia terletak di Segenting Kra iaitu dari Pechaburi hingga ke Chaiya, dan Jawaka pula dari Chaiya, Grahi terus ke Kelantan dan Kedah. Sejak 600 S.M., Maharaja Kedah Tua menghantar anakandanya menjadi Raja Jawaka, akhirnya Hun-T’ien dari Keturunan Kedah Tua pergi ke arah Utara mencari negeri baru untuk dijadikan negara. Akhirnya, baginda bertemu dengan Negara Kelapa, yang diperintah oleh seorang Ratu iaitu Ratu Soma, anakanda kepada Raja Naga.

 

Hun-T’ien dijodohkan dengan Liu-ye, sama ada melalui peperangan mahupun hanya diplomatik semata-mata. Hipotesis saya, hanya diplomatik kerana mereka serumpun bangsa yang sama. Lalu, Hun-T’ien menyerahkan pemerintahan Funan yang mengandungi tujuh buah negarakota kepada anakanda baginda untuk diperintah.

image

Keratan kajian ilmiah Michael Vickery

 

Rujukan:

1) 2003, Michael Vickery, Funan Reviewed : Deconstructing the Ancients, In: Bulletin de l'Ecole française d'Extrême-Orient. Tome 90-91

2) Suzuki Takashi, History of Srivijaya

3) 2011, Benudhar Patra, Kalinga and Funan : A Study in Ancient Relations

4) 2006, Miriam T. Stark, From Funan to Angkor, Collapse and Regeneration in Ancient Cambodia

5) 2012, Zuliskandar Ramli & Nik Hassan Shuhaimi Nik Abd. Rahman, Hubungan antara Semenanjung Tanah Melayu dengan China
Sejak Awal Abad Masihi

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kelahiran Empayar Srivijaya – Sebuah Empayar Persekutuan

Kedah Tua… Dari Sebuah Kota Kepada Sebuah Empayar

Benarkah Istana Melaka Hanya di Bukit Melaka (St. Paul) sahaja?