Projek Austronesia – Kajian Genetik Mengesahkan Asal-Usul Manusia di Lautan Pasifik Selatan (South Pacific Islanders) Bab 2

*Artikel ini pernah disiarkan di Page Facebook The Patriots. Sila like Page The Patriots untuk pelbagai info menarik. Terima Kasih…

 

Rentetan daripada artikel yang pertama, kita telahpun mengetahui bahawa Orang-orang di Lautan Pasifik Selatan merupakan saudara melayu kita yang telah jauh terpisah, sekurang-kurangnya 3,000 tahun dahulu. Namun, tanpa bukti yang lebih kukuh, pernyataan ini hanyalah tinggal pernyataan yang akhirnya menjadi hipotesis semata-mata. Daripada hipotesis ini, akhirnya ia hanya menjadi cerita rakyat yang didendangkan kepada anak-anak sebelum mereka melelapkan mata di dinihari.

 

Mujurlah perkembangan teknologi hari ini yang semakin moden dan dapat membuktikan pelbagai teori bukanlah hanya teori. Bukti yang tidak dapat disangkal lagi ialah kemandirian Asid Deoksiribonukleik atau DNA yang terdapat di dalam mitokondria sesuatu organisma yang diwarisi daripada ibu mereka. DNA dalam Mitokondria dikenali sebagai MtDNA yang menjadi kajian terkini dalam Projek Genom Manusia (HUGO) dan telahpun dibuktikan secara ilmiah berkenaan dengan usia sesuatu bangsa di tempat tersebut, yang akhirnya menjadi teori asas kepada umur asal ketamadunan sesuatu bangsa. Melalui teknologi MtDNA ini jugalah, tamadun melayu dikatakan salah satu daripada Permulaan Ketamadunan (Craddle of Civilisation) yang dijumpai oleh pengkaji-pengkaji Barat mahupun pengkaji tempatan. Namun saya tidak berminat untuk menerangkan lebih terperinci berkenaan dengan kajian MtDNA melayu ini kerana ia telahpun ditulis dengan terperinci oleh para penulis lain. Saya juga tidak berminat untuk menulis artikel ini ke dalam bentuk yang terlalu saintifik, supaya mudah untuk difahami oleh semua pembaca di semua bidang ilmu.

 

Jika kita berbicara mengenai MtDNA, cukuplah kita kena kenalpasti bahawa sebahagian daripada DNA yang disebut allele perlu ada suatu ciri pengenalan yang sama bagi menerangkan berkenaan suatu kelompok bangsa. Pelbagai set Allele yang terdapat di dalam sesuatu organisma, apabila dikaji mempunyai keseragaman dan kemiripan dengan organisma yang lain dalam kelasnya. Ciri pengenalan ini dikenali sebagai Penunjuk Genetik (Genetic marker). Bagi bangsa Austronesia, terdapat suatu allele unik yang hanya terdapat di dalam bangsa Austronesia iaitu Allele Haplogroup B4a1a1a yang mana menjadi ia dinamakan sebagai corak polinesia (Polynesia motif). Kesemua bangsa berkulit perang (brown race) yang terdapat di Micronesia dan Polinesia mesti mewarisi corak genetik ini.

 

Sebelum ini, kebanyakan pengkaji menyokong teori ‘Out of Taiwan’ yang menyatakan bahawa bangsa Austronesia (termasuk melayu) adalah berasal daripada Peribumi Taiwan. Teori ini disokong oleh banyak pengkaji arkeologi dan linguistik seperti Peter Bellwood, Robert Blust, Adelaar, dan Collins.Teori ini digunapakai kerana terdapat kemiripan bahasa Malayo-Polinesia dengan bahasa Formosa (Taiwan). Pada Tahun 2011, sekumpulan pengkaji daripada University of Leeds, UK (di dalam Journal ‘The American Journal of Human Genetics’ bertarikh 3 Februari) mendapati bahawa tiada kajian terperinci yang menyokong teori ‘Out of Taiwan’ ini dan DNA mereka juga didapati mirip dengan DNA orang-orang di Tanah Besar Asia. Oleh yang demikian, teori Out of Taiwan adalah teori yang tidak boleh digunapakai dengan serius kerana kajiannya tiada kesahan yang tinggi.

 

Oleh yang demikian, Kajian MtDNA merupakan kajian yang terkini dilakukan oleh mereka dalam mencari maklumat dari mana asalnya penduduk di Polinesia dan menurut Prof. Martin Richards (Ketua Pengkaji), “Kebanyakan kajian sebelum ini mengambil sampel yang kecil sahaja dalam pensampelan MtDNA, tetapi dalam kajian ini, kami mengkaji 157 genom mitokondria lengkap dengan penambahan kepada sampel kecil daripada 4,750 orang penyumbang sampel merentasi Asia Tenggara dan Polinesia. Kami juga memperhalusi teknik penetapan usia pensampelan tersebut untuk mengurangkan kesilapan. Ini bermakna, kami dengan yakin menegaskan bahawaq Populasi Polinesia (sekurang-kurangnya dari bahagian ibu) datangnya daripada Kepulauan Bismarck di Papua New Guinea, beribu-ribu tahun lebih awal daripada teori migrasi daripada Taiwan.”

 

Walaupun teori secara linguistiknya menyatakan bahawa bahasa Austronesia berasal daripada Taiwan, tetapi admin melihat bahawa bahasa melayu (hari ini) lebih kuat pengaruhnya berbanding bahasa Formosa di Taiwan. Secara peribadinya, admin tidak menyokong teori Linguistik ini. Admin lebih gemar menyatakan bahasa bahasa Austronesia berasal daripada kepulauan Sunda, Semenanjung Tanah Melayu dan Borneo. Tambahan pula, kebanyakan Arkeologi moden hari ini menjumpai bukti-bukti kaitan antara pengaruh kebudayaan Asia Tenggara dengan Kebudayaan Lapita di Kepulauan Bismarck, lebih kurang 3,500 Tahun dahulu lamanya. Bukti-bukti arkeologi seperti kebudayaan gigi bersaduran seramik, bahan tembikar dan peralatan batu gunung berapi yang terdapat di kebudayaan Lapita dan Asia Tenggara membuktikan Lapita merupakan pelabuhan terawal mereka sebelum bermigrasi lebih ke arah Timur Papua. Kajian arkeologi juga mendapati Tembikar Merah yang terdapat di Mariana (Timur Filipina dan dipisahkan oleh Jurang Lautan Terdalam di Dunia) mempunyai kemiripan dengan Kebudayaan Lapita dan Ais Tenggara dan berusia lebih kurang 3,600 Tahun.

lapita woman

 

Pada Tahun 2012, Pengkaji daripada University of Pennsylvania, US yang diketuai oleh Dr. Miguel Vilar pula telahpun membuat kajian MtDNA bg Penduduk di Guam (Chamorro) iaitu kawasan Mariana tadi dan telah mencadangkan bahawa penduduk Chamorro berhijrah daripada Kepulauan Asia Tenggara lebih kurang 4,000 tahun dahulu dalam gelombang pertama penghijrahan dan lebih kurang 1,000 Tahun Dahulu dalam gelombang kedua. Hasil kajian beliau jelaslah bahawa Penduduk Kepulauan Mariana adalah warisan daripada penduduk di Kepulauan Asia Tenggara iaitu dari Indonesia, Filipina, mahupun dari Malaysia.

 

Hipotesis admin pula menyatakan bahawa Polinesia berasal daripada kerajaan melayu kuno sekitar 8,000 tahun dahulu yang hebat dalam ilmu pelayaran dan telahpun menguasai dunia lautan pada zaman kuno tersebut. Kepulauan Bismarck pula merupakan pelabuhan terakhir alam melayu sebelum terjadinya bencana besar seperti Letusan Gunung Berapi Danau Toba dan Letusan Gunung Berapi Pinatubo. Semasa berlakunya bencana teramat dahsyat itu, maka ramai yang terselamat itu berjaya melindungi diri di dalam Gua-gua Batu Kapur di Perak, Gua Niah dan sebagainya. Yang berada di Lapita pula berjaya melarikan diri ke Melanesia, Micronesia dan akhirnya ke Polinesia. Ini hanya hipotesis peribadi admin sahaja. Harap artikel ini dapat mencetuskan idea baru kepada pengkaji-pengkaji sejarah alam melayu, seterusnya dapat menukilkan kajian yang lebih kompleks bagi menyambungkan lagi ‘puzzle’ yang berselerakan di seluruh Lautan Selatan Pasifik dan Lautan Hindi.

Rujukan:

1. http://www.guampedia.com/chamorro-dna-studies-and-the-origin-of-the-chamorro-people/

2. http://ngm.nationalgeographic.com/2008/03/people-pacific/smith-text/

3. http://www.sciencedaily.com/releases/2011/02/110203124726.htm

4. http://www.sciencedaily.com/releases/2012/11/121115162851.htm

5. Eden in The East, The Drowned Continent of Southeast Asia, Stephen Oppenheimer, Weidenfeld & Nicolson Publisher, UK 1998

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Funan - Empayar Melayu Yang Gemilang

Istana Kesultanan Melayu Melaka Yang Asal, Tidak Logik di Bukit Melaka?

Strategi Portugis Menawan Melaka