Bukti Kerajaan Funan itu Kerajaan Melayu

Terlalu banyak pertikaian yang terjadi apabila melibatkan empayar Funan ini. Masakan tidak, Funan adalah simbol kekuasaan dan kejayaan empayar pertama yang dikesan di Asia Tenggara, seawal abad pertama masihi hingga lebih kurang abad ke-6 Masihi. Selama sekurang-kurangnya 600 tahun Funan menaungi kawasan yang sangat luas terbentang, bersempadanan dengan Champa di Timur, Wilayah Yunnan di Utara, Pan-pan di Selatan dan mencapai Anak Benua India di Utara menunjukkan wilayah Funan yang sangat luas dan dapat mengekalkan pemerintahan ke atas pelbagai suku kaum yang berlainan keturunan, warna kulit dan bahasa. Penguasa Funan pastinya suatu kaum purba yang sangat hebat dan mempunyai kebolehan dalam memimpin, membuat diplomasi dan berkebolehan menyatukan kaum-kaum lain.

Banyak hipotesis dan pendapat sarjana-sarjana sejarah berkaitan Kaum asal di Funan dan bahasa rasmi Funan. Menurut Vickery (2003), Funan adalah kerajaan Mon-Khmer kerana bahasanya ada persamaan dengan Bahasa Tun-sun, yang mana Tun-sun adalah wilayah orang-orang Mon-Khmer di Lembangan Sungai Irrawaddy. Beliau menyataan bahawa Tun-sun adalah dari perkataan kuno Mon-Khmer iaitu Dun-sun yang bermaksud Lima Kota, sesuai dengan penerangan dalam Risalah K’ang T’ai dan Zhu Y’ing yang dicatatkan dalam rekod Liang.

Walaubagaimanapun, Vickery mungkin tersilap dalam penterjemahan Liang Shih berkenaan dengan Tun-sun dan Pi-Kien, kerana dalam Kronik China tersebut, bahasa yang dikatakan berbeza sedikit dengan Funan ialah Bahasa yang dipertuturkan oleh Kerajaan Pi-kien, yang terletak di Pulau Sumatera. Semenanjung Tanah Melayu dan Pedalaman Thailand (Sempadan Moden) memang diakui ramai penutur-penutur Mon-Khmer (orang aslian) dan berhampiran dengan Kerajaan yang pernah dibina oleh orang-orang Mon iaitu Kerajaan Pegu. Namun begitu, tiada rekod menyatakan bahawa orang Mon atau Khmer pernah membuka kerajaan di Sumatera. Oleh yang demikian, argumentasi pertama iaitu bahasa sudah menunjukkan bahawa Funan itu Kerajaan yang menggunakan bahasa Melayu Kuno atau  Bahasa Proto Austronesia (PAN). Pengkaji yang paling meyakini  bahasa Funan ialah bahasa melayu kuno ialah L.G.E Hall dan Robert Blust sendiri.

Sesungguhnya bahasa jiwa bangsa. Perkataan-perkataan melayu kuno yang masih tertinggal di Funan dapat dikesan dalam nama tempat seperti Phnom (Gunung) dan Kampongphe (pelabuhan, semirip seperti kampung). Namun, perbezaan antara Bahasa Mon-Khmer iaitu dalam kelas bahasa Austroasiatik dan bahasa melayu (Austronesia) sangat berbeza walaupun sarjana linguistik mengatakan bahasa bahasa Austroasiatik dan Austronesia adalah daripada keluarga besar bahasa Austrik. Funan adalah sebuah empayar yang berbilang bangsa dan bahasa. Dua bahasa utama ialah bahasa melayu dan cham; dan bahasa Mon dan Khmer. Terdapat sekurang-kurangnya empat blok utama kaum dalam Kerajaan Funan. Di Utara atau hulu Sungai Mekong, majoritinya ialah Chenla atau pre-khmer. Di lembangan Sungai Irrawaddy (Myanmar moden) dan Menam Chao Phrya (Bangkok), majoritinya ialah Mon, di Sebelah Barat yang bersempadanan dengan Anak Benua India dan Teluk Bengal, majoritinya didiami oleh Kaum Pyu (Kebudayaan dan bahasa sudah pupus) dan di ibukota iaitu di Hilir Sungai Mekong, di pinggir pantai, pulau-pulau dan Selatan Funan dikuasai oleh bangsa melayu, yang menjadi kelas pemerintah (ruling class) dalam tamadun Funan. Sikap toleransi dan diplomatik bangsa melayu di zaman itu memungkinkan mereka dapat menguasai dan menyatukan bangsa-bangsa yang pelbagai di Funan ini.

Menurut John Guy, Tun-sun ialah kerajaan yang sama dengan Langkasuka, terletak di Segenting Kra. Ia bersempadanan dengan Kerajaan Pan-pan yang terletak di Selatan Tun-sun. Walaupun pakar Mon mengesahkan bahawa Tun-sun adalah Kerajaan Mon yang bermaksud 5 Kota dalam bahasa Mon, namun isu berkenaan Tun-sun ialah Langkasuka diperkukuhkan oleh John Guy melalui masyarakat Tun-sun yang dipanggil Kun Lun atau mempunyai nama bermula dengan Kun Lun (Ku Long) yang rata-rata di identitikkan dengan Kaum Melayu zaman berzaman. Kunlun adalah Melayu!

Selain bukti bahasa, bukti lain yang boleh mengaitkan Funan dengan Melayu ialah faktor pakaian Funan yang dikatakan menyerupai pakaian orang-orang Champa, yang mana kita tahu Champa ialah salah satu daripada bangsa melayu proto yang wujud di Asia Tenggara. Oleh yang demikian, dari segi berpakaian juga sudah menunjukkan Funan itu diperintah oleh pemerintahan bangsa melayu.

Funan juga sangat misteri kerana boleh menakluki wilayah sejauh 2,000 km ke arah barat, tetapi tidak menakluki Champa yang bersebelahan dengannya dan tidak juga menakluki negara berjiranan dari arah selatan seperti Pan-pan dan Fo-lo-an. Hipotesis admin, Funan tidak menyerang mahupun menakluki negara-negara tersebut kerana mereka sebangsa dan diperintah oleh adik-beradik atau sepupu-sepapat raja-raja Funan juga. Oleh itu, sangat pasti bahawa Funan itu Kerajaan Melayu.

Suatu info yang sangat menarik untuk difikirkan. Selepas Rudravarman dikalahkan dan dijatuhkan oleh pakatan Bhavavarman dan Citrasena, baginda berjaya meloloskan diri lalu melarikan diri ke Pan-pan atau Chih-tu. Kelahiran Chih-tu sebagai negara mengufti China pada tahun 608M selaras dengan pemergian Rudravarman ke Pan-pan pada tahun 580 M. Bhavavarman yang menaiki takhta Funan di tahun 580M tidak disenangi oleh banyak pembesar dan wilayah-wilayah di dalam Funan mula meloloskan diri daripada Funan.Pada Tahun 583, Dvaravati menghantar sendiri ufti ke China dan diikuti oleh negara Chenla (selepas pakatan Citrasena) iaitu pada tahun 616M. Admin juga percaya Kewujudan Mon City States (Pegu) dan Pyu City States (Tenasserim) bermula selepas kejatuhan Rudravarman ke tangan Bhavavarman sehingga Bhavavarman terpaksa mengukir sebuah Inskripsi di Kampong Cham (Prasati Han Chey) di dalam bahasa Khmer tetapi menggunakan perkataan ‘Mala Malayu Iva Malayam Raja’ di awal ayat yang bermaksud ‘Raja Mala dari Malayu, Raja Segala Raja’ untuk menaikkan prestijnya sebagai pewaris kerajaan Funan yang sah.

-Nizam Gtz-

Rujukan: sila Rujuk artikel-artikel sebelum berkaitan Funan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kedah Tua… Dari Sebuah Kota Kepada Sebuah Empayar

Benarkah Istana Melaka Hanya di Bukit Melaka (St. Paul) sahaja?

Kelahiran Empayar Srivijaya – Sebuah Empayar Persekutuan