Funan - Empayar Melayu Yang Gemilang
Funan, nama yang dinyatakan dalam Rekod Dinasti Liang (Liang-shu) adalah sebuah negara melayu yang gemilang, yang akhirnya menjadi sebuah empayar dengan wilayah takluk yang besar.
Nama Funan atau Fou-nan adalah slang cina kepada nama negara tersebut, yang mana kebanyakan sarjana sejarah berpendapat Nama Sebenar Kerajaan tersebut ialah "Bnam" atau Phnom dalam bahasa melayu dan khmer kuno yang membawa maksud gunung. Nama Phnom ini masih digunakan di Kemboja dengan ibukota Phnom Pehn.
Sebelum wujudnya Funan, terdapat beberapa kota melayu yang telah wujud, dengan gelaran raja-rajanya Ku atau Kun atau Hun. Antara yang disebut dalam Kronik Liang tersebut, sama ada wujud terlebih dahulu mahupun wujud seiring dengan Funan termasuklah Negara Ki (atau Kiao), Tun-sun, Pi-kien, Lin-yi dan sebagainya.
Negara Ratu Soma atau Mayang Mengurai
Daripada sebuah negara kecil yang diperintah oleh Ratu Soma atau Liu-ye (Liu = Niu : Nyiur atau kelapa dalam bahasa melayu kuno memungkinkan namanya ialah Mayang Mengurai), Seorang Ratu yang dilagendakan sebagai Anak Raja Naga. Sewaktu pemerintahan baginda, negara kecil itu menjadi makmur dan berkembang pesat sebagai sebuah negara yang berdaya saing.
Walaubagaimanapun, masyarakat Funan di masa itu tidak berpakaian. Hipotesis admin, mereka hanya memakai daun-daun atau kulit pokok sebagai cawat. Muzium hidup pakaian secara Funan ini masih boleh dilihat dalam masyarakat Kaum Penan yang tinggal secara tradisional di pedalaman Sarawak. Mungkin jumlahnya kecil kerana ramai kaum Penan yang telah mengenakan pakaian (berbaju-T) mengikut arus kemodenan negara. Masyarakat Funan bukanlah bertelanjang sepenuhnya, cuma tidak memakai baju. Hal ini kerana dalam catatan K'ang T'ai dan Zhung Yi, dikatakan pakaian Funan sama dengan Lin-yi (Champa).
Terdapat banyak pendapat lokasi asal Kerajaan Ratu Liu-ye ini. Ada yang menyatakan asalnya di Kuala Sungai Mekong, iaitu di Selatan Kemboja moden, bertepatan dengan Pusat arkeologi Angkor Borei. Ada juga yang berpendapat bahawa Ibukota asal kerajaan tersebut di Lembangan Sungai Chao Phraya, tidak kurang juga ada yang berpendapat ia terletak di Leher Semenanjung Tanah Melayu iaitu di Petchaburi.
Tapak asal ibukota kerajaan Liu-ye tidak dapat dipastikan, namun kota Vyadhapura yang dikunjungi oleh dua pengembara China itu dikatakan terletak lebih 3000 li ke arah barat daya Lin-yi (Champa). 1 li: 418m atau 0.418m di zaman tersebut (dinasti Wu). Oleh itu, jarak ibukota Funan ialah lebih 1254 km. Jika dilihat daripada peta moden, didapati jarak antara Indrapura (Quang Nam Province, Vietnam) ke Angkor Borei (Vyadhapura mengikut pendapat Vickery, 1996), jaraknya ialah 1,003 km sahaja. Walaubagaimanapun, jalanraya di zaman lampau mungkin lebih panjang kerana menyusuri sungai dan kurang jambatan seperti jalanraya moden. Ibukota Funan di zaman itu berkemungkinan besar Angkor Borei. Hal ini bertepatan dengan penemuan tapak arkeologi Bandar Pelabuhan Oc Eo dan jarak antara Pelabuhan dengan Vyadhapura ialah 500 li (209km). Terdapat sebuah terusan purba yang menghubungkan pelabuhan Oc Eo dengan Angkor Borei memendekkan perjalanan dari Oc Eo ke Angkor Borei.
Pusat Pentadbiran Funan
Pusat Pentadbiran Funan di awal pemerintahan Ratu Soma tidak dapat dipastikan dengan tepat. Terdapat beberapa tapak yang dicadangkan sebagai ibukota Funan dari awal pemerintahan Liu-ye. Antara yang popular ialah Ba Phnom, Angkor Srei, Angkor Borei, Preah Pathom dan Oc Eo (Daerah An Giang, Selatan Vietnam moden). Pada pendapat admin, kota yang paling mungkin ialah di Oc Eo kerana semasa kedatangan Hun-tian, tentera Ratu Soma dengan ratunya belayar ke tengah lautan untuk bertempur dengan tentera Hun-tian. Namun, Hun-tian dengan mudahnya menewaskan angkatan tentera Liu-ye dan akhirnya berjaya mengahwini Liu-ye.
Pemerintahan diserahkan kepada Hun-tian, yang memindahkan pemerintahan jauh ke pedalaman Sungai Mekong. Keadaan ini berkemungkinan kerana Hun-tian mahu memastikan negara Funan selamat dari ancaman negara-negara selatan. Hun-tian yang berasal dari Kiao, mungkin dari Wilayah Kelantan (Kha-la-tan) atau Langkasuka (Pattani). Kiao, Jiao atau Xiao ada persamaan nama dengan Lang-Xia-shu atau Langkasuka. Dari perkahwinan mereka, lahirlah Hun-pan-kuang, raja Funan ketiga, yang mewarisi tujuh negarakota dalam Funan (melalui penaklukan dan diplomasi denga adik-beradik yang lain). Dengan Vyadhapura sebagai ibukota yang kekal sehingga ditakluki oleh Chenla dari utara.
Daftar Raja-raja Funan
Berikut adalah hipotesis raja-raja Funan berdasarkan rekod dari Liang.
Bil | Kemungkinan Nama dalam Bahasa Melayu kuno atau Sanskrit | Nama dalam rekod Liang | Waktu Pemerintahan |
01 | Ratu Soma / Mayang | Liǔyè 柳葉 / Yèliǔ葉柳 | Abad Pertama atau Kedua Masihi |
02 | Hun Tian | Hùntián 混塡 / Hùnhuì 混湏 | Abad Pertama atau Kedua Masihi |
03 | Hun Pan Kuang | Hùnpánkuàng 混盤況 | Kurun ke-2 M |
04 | Pan Pan | Pánpán 盤盤 | Penghujung kurun ke-2 M |
05 | Pan Seri Man (Pan Che Man) | Fàn Shīmàn 范師蔓 | Awal abad ke-3M |
06 | Pan Tsing | Fàn Jīnshēng 范金生 | 230M? |
07 | Pan Shan | Fàn Zhān 范旃 | 230 – 243 M atau lebih awal |
08 | Pan Cang | Fàn Cháng 范長 | selepas 243M |
09 | Pan Syun | Fàn Xún 范尋 | 245/50-287M |
10 | Tidak dikenalpasti | - | kurun ke-4M |
11 | Cendana | Zhāntán 旃檀 | 357M |
12 | Tidak dikenalpasti | - | dalam 400M |
13 | Kauṇḍinya | Qiáochénrú 僑陳如 | 420M |
14 | Śrī Indravarman | Chílítuóbámó 持梨陀跋摩 | 430 – 440M |
15 | Tidak dikenalpasti | - | Kurun ke-5 M |
16 | Tidak dikenalpasti | - | Kurun ke-5 M |
17 | Kauṇḍinya Jayavarman | Qiáochénrú Shéyébámó 僑陳如闍耶跋摩 | 484 – 514M |
18 | Rudravarman | Liútuóbámó 留陁跋摩 | 514 – 545 M |
Pemerintahan Wangsa Hun
Selepas kemangkatan Hun-tien, Hun Pan Kuan menjalankan dasar perluasa kuasa pertama dalam sejarah Funan. Wilayah taklukan dan diplomasi baginda merangkumi seluruh tujuh negarakota Funan. Tujuh negarakota ini merangkumi seluruh Selatan Lembangan Sungai Mekong hingga ke Selatan Vietnam moden. Sebagai sebuah empayar terawal yang menjalankan tradisi agraria, Funan perlu menakluki seluruh kawasan delta yang rata dan subur, sebagai negara pengeluar makanan (padi) utama di waktu itu. Selain itu, laluan perdagangan dari Timur ke Barat dan sebaliknya masih lagi popular menggunakan laluan daratan. Dan dari sini juga lahirnya Chen-la, berkemungkinan berasal dari adik-beradik Hun-pan-kuang yang tidak berpuas hati dengan dasar perluasan kuasa Hun Pan Kuang.
Hun Pan Kuang mangkat dalam usia 90 tahun. Selepas kemangkatan baginda, putranya iaitu Pan Pan menaiki takhta. Mungki namanya dimulai dengan Hun, iaitu Hun Pan Pan. Namun, raja yang agak merendah diri itu menyerahkan urusan pentadbiran kepada Panglima Utama iaitu Pan Seri Man. Usia baginda tidak panjang. Selepas 3 tahun pemerintahan, baginda menemui ajalnya dan Pan Seri Man menaiki takhta sebagai Raja Funan.
Pemerintahan Wangsa Pan
Pan Seri Man dikatakan berasal dari Negara Selatan dari Funan. Baginda mungkin anak raja dari Tun-sun atau Pan Pan. Kedatangannya ke Funan adalah untuk menjadi tentera Funan. Dalam suatu pertandingan memilih panglima, Pan Seri Man ternyata tidak terkalahkan. Semua pahlawan-pahlawan melayu, Mon mahupun Khmer berjaya ditewaskan. Akhirnya, Pan Seri Man dipilih menjadi Panglima Agung dalam kerajaan Funan.
Selepas kemangkatan Hun Pan Kuang, Pan Pan menyerahkan urusan pentadbiran negara kepada Pan Seri Man. Tempoh pemerintahan baginda singkat, hanya tiga tahun sahaja. Selepas kemangkatan Pan Pan, Pan Seri Man diangkat menjadi Raja Funan. Baginda adalah seorang raja dan juga pahlawan yang bijak. Baginda membina perahu-perahu perang yang besar dan menjadikan Funan kerajaan separa maritim. Kehebatan Funan sejak dari zaman baginda bergantung kepada kehebatan tentera laut baginda. Dengan kehebatan tentera laut dan tentera di darat, baginda berjaya menakluki negara-negara lain di utara dan barat Funan. Perluasan kuasa ini bertujuan untuk memonopoli laluan perdagangan dari Pelabuhan Takua Pa dan Tenasserim sehinggalah ke Pelabuhan Oc Eo. Funan tidak menakluk Champa, kerajaan sebangsa dengannya dan ia menjadi misteri yang berpanjangan. Di zaman baginda juga, hubungan dengan tamadun India atau Kalinga bermula apabila utusan baginda yang bernama Pan Can dihantar ke India dan beliau menganut ajaran Hindu dari Kalinga.
Segala Wilayah dari Lin Yang (Pyu city states), Tun Sun (Segenting Kra) menjadi wilayah taklukan baginda. Namun, Negara Chih tu dan Pan Pan tidak ditakluki. Hal ini kerana Chih tu dan Pan pan adalah negara adik-beradik atau saudara-mara Pan Seri Man. Pan Seri Man dikatakan sebagai Raja Funan yang Agung. Semasa pemerintahan baginda, baginda telah meluaskan empayarnya sehingga 2000-2500 km panjang. Namun, dasar perluasan kuasa baginda terencat seketika semasa baginda gering. Anakanda baginda yang bernama Pan Tsing (Jinsheng) pula meneruskan kempen baginda untuk menakluk Kerajaan Jinling. Pan Tsing menaiki takhta pada tahun 230M. Mungkin di tahun inilah Pan Seri Man mangkat.
Pan Zhan, anak saudara Pan Seri Man (anak kakak) menabalkan dirinya sebagai Maharaja Funan semasa Pan Tsing sedang sibuk dengan misi ketenteraannya. Dengan 2,000 orang tentera, Pan Zhan menguasai ibukota Funan dan menghantar orang untuk membunuh Pan Tsing. Akhirnya, takhta Funan beralih kepada Pan Zhan selepas Pa Tsing berjaya dibunuh dan kempen ke atas Jinling dihentikan.
Pan Seri Man ada seorang lagi putra yang masih kecil di zaman tersebut. Namanya Pan Chang. Pada usianya 20-an, baginda telah merancang untuk membalas dendam ke atas Pa Zhan. Dengan beberapa pahlawan yang hebat, Pan Chang berjaya menyelinap ke istana Funan dan membunuh Pan Zhan. Baginda kemudiannya merampas mahkota dan menabalkan dirinya sebagai Raja Funan.
Namun, peristiwa ini tidak disenangi oleh kebanyakan tentera Pan Zhan. Pan Zhan adalah raja yang sah dari segi matrilineal, kerana selepas kemangkatan raja, raja yang baru akan ditabalkan dari susur galur perempuan. Oleh itu, anak kakak kepada Pan Seri Man lebih berhak menaiki takhta.
Dua tahun kemudian, berlaku revolusi dalam istana Funan. Fan Tsun, panglima perang utama di zaman Pan Zhan membunuh Pan Chang dan baginda menaiki takhta sebagai maharaja Funan yang baru. Pan Tsun berusaha menstabilkan Funan dan berjaya mengelakkan berlakunya pemberontakan dalam wilayah Funan dengan membuat undang-undang negara Funan yang ketat. Baginda juga membina balai penghadapan untuk menerima tetamu dan utusan-utusan luar. Di zaman baginda, pesalah-pesalah dihukum dengan hukuman yang berat, tetapi tidak ada penjara. Pesalah-pesalah akan dihukum dengan memegang kapak panas, memegang cincin panas, dihumban ke dalam sarang buaya dan harimau.
Selepas kejatuhan Dinasti Han di China, dinasti Wu dari Zaman Tiga Kerajaan China mengadakan hubungan dua hala dengan Funan. Fan Tsun menghantar ufti kepada china dan negara china juga menghantar dua orang utusan iaitu K’ang T’ai dan Zhu Ying, yang akhirnya mengembara ke seluruh Funan, Dun sun dan Pi Kien, selain daripada Poli.
Selepas kemangkatan Fan Tsun, terdapat seorang lagi raja yang tidak diketahui namanya dan berakhirlah penguasaan Wangsa Pan selepas kemangkatan Pan Tsun. Walaupun Pan Tsun adalah panglima perang di zaman Pan Zhan, namun baginda berkemungkinan salah seorang keluarga Pan Zhan yang bersambungan nasabnya kepada kakak Pan Seri Man.
Pemerintahan Wangsa Chu atau Ku.
Selepas kemangkatan raja Pan terakhir, takhta Funan diwarisi pula kepada Chu Zhantan atau Ku Cendana. Cendana meneruskan hubungan dengan tamadun China dengan menghantar utusan dan ufti berupa gajah kepada negara China dinasti Jin. Malangnya, Maharaja Jin tidak menerima ufti tersebut sebab sukar mengawal gajah tersebut. Cendana berkemungkinan seorang panglima perang di zaman wangsa Pan. Selepas kemangkatan Cendana, baginda digantikan dengan seorang lagi raja dan berakhirlah penguasaan wangsa Ku. Dikatakan, zaman Wangka Ku ini berlaku pergolakan dalam wilayah-wilayah Funan yang sangat besar sehingga pembesar-pembesar Funan terpaksa menjemput anak raja yang sah dari negara berjiranan iaitu Pan Pan untuk membantu menstabilkan Funan.
Kedatangan Kaundinya, Perubahan Dalam Pentadbiran Funan dan Bermula Wangsa Varman.
Qiaochenru adalah nama yang sinonim dengan Kaundinya. Baginda dikatakan sebagai seorang Brahmin dari India dan menetap di Wilayah Pan Pan, sebelum diangkat menjadi raja di Funan. Kaudinya ini yang dikatakan terpahat namanya di Myson, Vietnam kerana kehebatannya dalam mentadbir Funan dan menjadi penggerak kepada penyebaran ajaran Hindu di Funan. Baginda menukarkan pentadbiran Funan dengan akulkturasi budaya dan ajaran Veda. Dalam 10 tahun pemerintahan baginda, perubahan budaya dan strata masyarakat Funan menjadi lebih ke arah Hindu/Buddha yang sebelum ini lebih ke arah Animisme.
Kaundinya adalah pemula kepada Wangsa Varman atau Perisai. Gelaran Varman ialah gelaran yang diberikan kepada keturunan baginda. Menurut Vickery (2003), tiada Kaundinya yang datang dari India, ia hanya lagenda untuk meningkatkan lagi legitimasi raja dalam kalangan rakyat yang semakin ramai menganut ajaran Brahman dari India, melalui Tun-sun. Kaundinya adalah Raja Wilayah Pan pan yang dijemput oleh warga Funan untuk dirajakan selepas Wangsa Ku tiada waris untuk menjadi raja. Pan pan adalah negara asal Hun Tian (Langkasuka atau Kha-la-tan). Lagenda dari India adalah untuk meningkatkan lagi prestij raja tersebut untuk menghadapi komuniti Funan yang semakin maju di zaman itu. Pan pan yang bernaung di bawah Funan juga berjaya memerdekakan wilayahnya apabila Pan pan menghantar ufti pada tahun 423M. Peristiwa ini mengukuhkan lagi negara asal Kaundinya ialah Pan Pan kerana Kaundinya memerdekakan Pan Pan dan bukan negara lain.
Selepas kemangkatan Kaundinya, Sri Indravarman menaiki takhta Funan pada tahun 430M dan baginda digantikan oleh anakanda atau anak saudara (tradisi marilineal dalam Funan kerap kali berlaku) baginda pada tahun 440M. Terdapat dua orang raja yang tidak dikenalpasti dalam pemerintahan selepas Sri Indravarman.
Seterusnya pada tahun 484M, Raja yang digelar Bulan bagi keturunan Kaundinya menaiki takhta. Nama baginda ialah Kaundinya Jayavarman. Baginda sangat disenangi oleh Negara China dan menjadi rakan kongsi perdagangan yang sangat erat dengan tamadun di Timur. Selepas kemangkatan Kaundinya Jayavarman pada tahun 514M, Raja Gunavarman yang sepatutnya menaiki takhta dibunuh oleh Rudravarman, anak yang bukan dari permaisuri agung dan Rudravarman menaiki takhta. Baginda dikatakan menganut ajaran Buddhism.
Bhavavarman, anak kepada Viravarman (anak lain kepada Javavarman) tidak berpuas hati dengan perlantikan bapa saudaranya, Rudravarman yang telah membunuh Gunavarman melarikan diri ke Chenla. Di waktu ini, penguasa Chenla iaitu Citrasena adalah sepupu kepada Bhavavarman. Teori saya berkenaan Bhavavarman ialah, baginda berdarah campur antara melayu dan Khmer, melayu dalam jalur Funan (bapa) dan Khmer dalam jalur ibu. Setelah 30 tahun di istana Chenla, Bhavavarman dan Citrasena melancarkan serangan ke atas Funan dengan tentera darat Khmer yang gagah. Serangan demi serangan membuahkan hasil, menyebabkan Rudravarman yang agak berumur berjaya melarikan diri ke Negara Selatan, pulang ke tanah leluhur iaitu ke Pan Pan.
Bhavavarman menaiki takhta pada 550 M mengukir sebuah prasasti yang kini dikenali dengan nama Prasasti Han Chey di pelabuhan darat kota Vyadhapura, bertepatan di Kampong Cham, Kemboja untuk menyatakan legitimasinya sebagai Raja Funan. Baginda memulihkan kembali fahaman Hindu Sivaism. Namun, disebabkan baginda lebih terarah kepada Khmer, maka baginda mengasaskan Empayar Khmer, namun masih menghantar ufti ke negara China atas nama Funan sehingga tahun 588M.
Budaya Funan
di awal Funan, iaitu di zaman Liu-ye, masyarakat Funan tidak berpakaian, atau hanya memakai cawat dari kulit pokok bagi melindungi kemaluan sahaja. Lelaki mahupun perempuan tidak mengenakan pakaian. Kemudian, kedatangan Huntian merubah pola pemakaian Funan, dengan wanita disuruh menutup tubuh menggunakan kain yang ditebuk lubang di tengah-tengah untuk dimasukkan ke dalam kepala, sementara lelaki masih tidak berpakaian. Cara pemakaian ini kekal sehingga 200 tahun. Budaya Funan juga suka bertatu di badan dan ia masih diamalkan di seluruh kepulauan melayu dan Austronesia, kecuali yang telah memeluk islam seperti melayu.
Selepas kedatangan K’ang T’ai dan Zhu Ying, mereka memperkenalkan kain Hengfu yang dijadikan kain sarung kepada lelaki dan perempuan. Budaya menjahit bermula dari zaman ini dengan jahitan kain hengfu (sarung) dan dinamakan sarung oleh masyarakat tempatan. Kain hengfu atau gangman digunapakai sehingga zaman Liang dan Jin, namun mengalami beberapa transformasi berpakaian. Orang yang kaya akan mengenakan sarung dari kain kapas yang mahal dan diimport dari China. Orang yang miskin akan mengenakan sarung dari kain belacu yang murah dan dibuat di Funan. Kain sarung ini mungkin diwarisi kepada kita dalam bentuk kain batik dan kain pelikat. Jika kita melihat baju kurung melayu, kita akan dapati ia ibarat kain yang ditebuk di kepala dan dijahit disisi kain tersebut. Mungkin baju kurung adalah transformasi dari baju yang diperkenalkan oleh Hun tian tadi.
Funan dan pelabuhan Oc Eo menjadi pelabuhan entreport, dengan pertukaran pelbagai jenis barangan dari timur ke barat. Produk asli Funan pula termasuklah emas, perak, timah, batu jade, gading, burung kakak tua dan gaharu. Negara Funan menjadi kaya dengan perdagangan, pelabuhan yang pesat (terdapat 90 bangunan yang telah diekskavasi di Kota Pelabuhan Oc Eo) serta ufti dari negara-negara bawahan.
Funan adalah lambang kepada Perbandaran Proto yang wujud dan dikesan di saat ini, sebelum penemuan Tamadun Sungai Batu. Terdapat tembok-tembok Batu di istana dan kediaman pembesar, bangunan-bangunan batu dari blok pentadbiran, kediaman dan rumah ibadat, serta tembok-tembok kayu (palisade) atau tanah mampatan di sekitar kampung-kampung dan rumah-rumah yang diperbuat daripada kayu.
Terdapat terusan purba yang menghubungkan Oc Eo dengan Angkor Borei, yang memendekkan perjalanan dari lebih kurang 200 km dalam Sungai Mekong kepada lebh kurang 90 km sahaja. Sistem bekalan air pula ialah pembinaan kolam-kolam air yang berpusat dan digunakan oleh lebih kurang 10 keluarga bagi satu kolam air.
Dari segi agama dan kepercayaan, di awalnya Funan menganut ajaran animisme, kemudian mereka menganut ajaran Hindu (Sivaism), sebelum diubah kepada Buddha di zaman Rudravarman. Namun, Bhavavarman menukar kembali ajaran Hindu sebagai agama rasmi Funan.
Sistem hukuman di Funan sangat teruk. Tiada penjara di Funan, orang yang melakukan kesalahan sama ada melecur teruk di tangan (mencuri) kerana disuruh memegang kapak yang panas atau emas yang diletakkan dalam telur yang mendidih (dalam air mendidih) atau mati dimakan buaya atau harimau. Oleh itu, msayarakat Funan tidak berani membuat jenayah.
Kejatuhan Funan
Setiap tamadun pasti ada jatuh bangunnya. Funan pula merupakan wilayah yang besar dan sering berlaku revolusi sosial, namun ia tidak melenyapkan terus empayar yang besar itu. Wilayah-wilayah bawahan seperti Tun-sun, Lin Yang, Pegu, Dvaravati dan Chenla masih menghantar ufti dan tunduk kepada penguasaan Funan.
Namun, serangan Bhavavarman dan Citrasena di tahun 544-545M yang berkemungkinan berlarutan hingga 5 tahun menyebabkan Funan mengalami kemerosotan. Apatah lagi, selepas Bhavavarman menaiki takhta pada 550M dan menukar Funan kepada Khmer, banyak wilayah-wilayah Funan memerdekakan wilayahnya sebelum ditakluk kembali oleh Suryavarman.
“Kalau Roboh Kota Vyadhapura,
Tembok di Pan Pan kami dirikan”
Begitulah agaknya ungkapan Rudravarman yang berjaya melarikan diri ke Panpan dan bersama-sama dengan penguasa asal Panpan membuka empayar baru berbentuk maritim iaitu Empayar Tanah Merah (Chihtu).
Rujukan:
1) 2012, Takashi Suzuki, History of Srivijaya, Under The Tributary Trade System of China, JPCA
2) 2003, Michael Vickery, Funan Reviewed : Deconstructing the Ancients, Bulletin de l'Ecole française d'Extrême-Orient.
3) 2006, Miriam T. Stark, From Funan to Angkor, Collapse and Regeneration in Ancient Cambodia, The University of Arizona Press
4) 1966, Megumu Honda, The Han-Chey Inscription of Bhavavarman, Journal of Indian and Buddhist Studies, The Japanese Association of Indian and Buddhist Studies.
5) 2014, John Guy, Lost Kingdoms: Hindu-Buddhist Sculpture of Early Southeast Asia, Metropolitan Museum of Art.
6) 2004, Charles F. W. Higham, Encyclopedia of Ancient Asian Civilizations, Facts On File, Inc.
Mengatakan era Funan manusianya duna daun kayu sahaja sebagai pakaian adalah keterlaluan. Tidak logik. Sila ziarah blog The Patriots baca tulisan Cik Srikandi. Orang Melayu zaman dahulu telahpun mengusahakan tenun ikat.
BalasPadamFunan itu melayu.sedangkan nama melayu itu nama baru yag diserap dari nama Malaya asal dari kata Hilmalaya digunakan orang asing menyebut suku di pergunungan Himalaya India yang tersebar ke ke asia
Padam