Rekod Kronik Liang Mengenai Funan: Suatu Dokumen Yang Sangat Penting
Peta Empayar Funan pada kurun ke-3 M |
Pada pertengahan kurun ke-3 M, dua orang pengembara, K’ang T’ai dan Zhu Y’ing telah melawat Vyadharapura (bandar pemburu), ibukota lagenda Kerajaan Funan. Rekod mereka menjadi rekod empirikal terpenting berkenaan Funan.
The Liang Shu account from Chinese Empirical Records
Tiada penterjemahan daripada teks asal, yang ada hanya salinan. Teks bertulisan cina diterbitkan oleh Paul Wheatley, The Golden Chersonese, University of Malaya Press, 1966. Saya menterjemahkan kembali teks daripada bahasa inggeris yang diterjemahkan oleh Yun (China History Forum).
Kerajaan Funan terletak Selatan daripada Wilayah Rinan (Utara Vietnam), di teluk besar yang terletak ke arah barat daripada lautan. Jaraknya 7,000 li dari Rinan, dan lebih 3,000 li ke arah Barat Daya dari Lin-yi (Champa). Ibukotanya pula terletak 500 li dari laut. Terdapat sebatang sungai besar selebar 10 li yang merentangi, mengalir dari barat laut dan memasuki lautan di sebelah timurnya. Diameter Kerajaan Funan melebihi 3,000 li, manakala tanahnya pula pamah dan rata. Cuaca dan pakaian mereka ada persamaan dengan Lin-yi. Funan menghasilkan emas, perak, gangsa, timah, “lakawood”, gading, batu jade dan lima warna burung kakak tua.
(Tidak termasuk dalam artikel ini: Penerangan mengenai kerajaan berjiranan dengan Funan seperti Dunsun, Piqian dan Zhubo)
Masyarakat dalam kerajaan Funan kebiasaannya tidak berbaju, bertatu di badan dan membiarkan rambut mereka terurai ke bawah. Pemerintahnya ialah seorang perempuan bernama Liu-ye (Daun Willow atau Daun Kelapa, dipanggil Ratu Soma dalam versi Cham). Baginda seorang wanita yang muda dan tegap, seperti lelaki. Di Selatan, terdapat sebuah kerajaan bernama Ji (Ki atau Kiao dalam versi Pelliot), di mana terdapat seorang pendita semangat-semangat dan dewa-dewa bernama Hun-t’ien. DIa bermimpi, bahawa dewa memberikannya sebilah busur (ajaib), dan belayar ke lautan dengan kapal pedagang. Pada waktu pagi, dia telah terjaga dari tidur dan pergi ke tokong (rumah ibadat), dan menjumpai busur tersebut di bawah pokok suci. Dia kemudiannya mengikuti mimpi tersebut dan belayar ke tengah lautan dengan kapal, menghampiri kawasan luar Funan. Liu-ye dan pengikut-pengikut baginda terlihat ada sebuah kapal menghampiri dan mahu menawan kapal tersebut.Hun T’ien kemudiannya mengacukan busurnya dan menembak ke arah kapal Liu-ye, menusuk ke sisi kapal tersebut dan kena kepada salah seorang pengikut Liu-ye. Liu-ye rasa gerun dan menyerah kalah kepada Hun T’ien dengan semua rakyat baginda. Hun T’ien mengajarkan Liu-ye membuat lubang pada sehelai kain dan memasukkan kepalanya ke dalam kain tersebut untuk menutupi badan Liu-ye. Hun T’ien kemudiannya memerintah kerajaan tersebut setelah mengambil Liu-ye menjadi isteri. Mereka dikurniakan tujuh orang putera, yang kemudiannya dirajakan di setiap bahagian dalam jajahan mereka.
Seterusnya, Raja Hun Pankuang menggunakan kelicikannya, menyebabkan perpecahan dalam wilayah-wilayah tersebut dan wilayah-wilayah tersebut saling mencurigai dan bercakaran antara satu sama lain. Baginda kemudiannnya menggunakan tentera baginda untuk menyerang dan menakluk kesemua wilayah Funan tersebut, lalu menghantar anak dan cucu baginda untuk memerintah pelbagai wilayah, dengan gelaran Raja Bawahan.
Pankuang mangkat pada usia 90-an, anaknya yang tengah iaitu Panpan diangkat menjadi Raja. Urusan negara diserahkan kepada Panglima Fan Man (Fan Shih Man). Panpan pula mangkat selepas 3 tahun memerintah, dan rakyat memilih Fan Man sebagai raja. Fan Man adalah seorang pahlawan yang gagah perkasa dan bijak dalam strategi. Baginda menyerang semua kerajaan berjiranan dan jadikan semua negara tersebut sebagai jajahan Funan. Baginda menggelarkan dirinya sebagai Raja Agung Funan. Baginda membina kapal-kapal besar dan menghantar kapal-kapal itu menyeberangi lautan untuk menyerang lebih dari sepuluh kerajaan termasuklah Qudukun, Jiuzhi, Diansun dan meluaskan wilayahnya sehingga 5,000 ke 6,000 li.
Seterusnya, baginda merancang untuk menyerang Kerajaan Jinling, tetapi baginda jatuh gering dan menghantar Putra Mahkota, Fan Tsing (Jinsheng) untuk mengetuai serangan bagi menggantikan baginda. Anak saudara Fan Man, Zhan yang menjadi panglima mengetuai 2,000 orang lelaki, merampas takhta Fan Man. Zhan menghantar orang untuk menipu Fan Tsing dan membunuh baginda. Semasa Fan Man mangkat, baginda ada seorang lagi anak kecil bernama Chang yang tinggal dalam kalangan penduduk biasa. Apabila Chang berusia 20, dia berkawan dengan lelaki-lelaki berani dalam kerajaan tersebut dan menyerang serta membunuh Zhan. Namun, Panglima kepada Zhan iaitu Panglima Fan Tsun (Xun) membunuh Chang dan menaiki takhta Funan.
Fan Xun memerintah kerajaan dengan baik dan membina sebuah balai penghadapan (viewing pavilion) untuk memudahkannya memerintah. Di mana, dari awal pagi hingga tengahari, baginda akan menerima kunjungan daripada 3-4 tetamu. Rakyat sering bertukar-tukar tebu, kura-kura dan burung sesama sendiri sebagai hadiah. Undang-undang negara Funan tiada penjara. Sesiapa yang didapati bersalah melakukan jenayah, mereka dipaksa berpuasa selama tiga hari. Kemudian, sebilah kapak dipanaskan sehingga merah berbara dan yang dituduh perlu membawa kapak tersebut tujuh langkah. Selain itu, cincin emas dididihkan bersama telur ayam di dalam mangkuk sup, kemudian si tertuduh perlu mengeluarkannya. Jika dia menipu, tangannya akan melecur teruk. Jika dia berkata benar, tangannya selamat. Merka juga menyimpan buaya-buaya dalam tasik di ibukota, serta membela haiwan-haiwan buas di luar pagar kota. Sesiapa yang didapati bersalah, akan dimasukkan ke dalam sangkar buaya atau haiwan buas selama tiga hari. Jika haiwan-haiwan tersebut tidak makan pesalah dalam masa tiga hari, dia dikira tidak bersalah dan dibebaskan. Buaya yang besar, sebesar lebih dari 2 zhang panjang, menyamai aligator di Yangzi, dengan empat kaki dan muncung sepanjang 6-7 chi dengan gigi yang tajam, setajam pedang di kedua-dua belah muncungnya. Buaya itu kebiasaannya memakan ikan, kadang-kadang buaya tersebut juga makan rusa dan manusia yang melintasi di hadapannya. Terdapat juga buaya di Selatan wilayah Cangwu dan di negara-negara asing (di Selatan).
Semasa era Negara Wu (zaman Tiga Negara), Ketua Pengawal, K’ang T’ai dan Pegawai Operasi Suara (Xuanhua), Zhu Ying dihantar sebagai utusan ke kerajaan Fan Xun. Rakyat di sana masih lagi tidak berpakaian, kecuali wanita yang memakai baju yang ada lubang di kepala. K’ang T’ai dan Zhu Ying berkata,”Ini adalah Kerajaan yang Hebat, tetapi masyarakatnya tidaklah perlu untuk berpakaian sebegitu.”
Justeru itu, buat pertama kalinya rakyat di Funan disuruh memakain hengfu. Hengfu itu sekarang (Zaman Liang) dipanggil ganman (seperti sarung). Yang kaya mengenakan hengfu dari kain kapas, manakala yang miskin memakai hengfu dari kain biasa (belacu).
Semasa zaman Taikiang, zaman Dinasti Jin (280-289 M), Funan menghantar uftinya.Pada tahun pertama pemerintahan Shengping (era Dinasti Jin (357 M), Raja Zhuzhantan menghantar gajah jinak sebagai ufi. Maharaja mengadu dan berkata,”haiwan ini sukar diangkut, kamu jangan menghantar haiwan ini lagi.”
Kemudian, ada seorang Raja bernama Qiaochenru, asalnya seorang Brahmin dari India. Tuhan berkata kepadanya, “Kamu akan menjadi Raja Funan.”Lalu dia berasa sangat gembira di dalam hati dan berkelana ke Kerajaan Panpan. Rakyat Funan yang mendengar mengenainya berasa gembira dan mengalu-alukan kedatangannya sebagai Raja. Baginda menukarkan undang-undang Funan mengikuti undang-undang di India.
Selepas kemangkatan Qianchenru, ada seorang raja bernama Chilituobamo. Semasa pemerintahan Kerajaan Song (420-422), baginda menghantar produk tempatan sebagai ufti. Semasa pemerintahan Yongming dari dinasti Qi Selatan (483-493), Raja Sheyebamo (Jayavarman?) menghantar utusan beserta ufti.
Semasa tahun kedua pemerintahan Tianjian (Dinasti Liang, 503 M), Sheyebamo menghantar ufti lagi dalam bentuk patung Buddha yang diperbuat dari batu karang, bersama-sama dengan produk tempatan yang lain. Maharaja bertitah,”Raja Funan, Qiaochenru Sheyebamo tinggal di pinggir pantai dan negara mereka menjadi vassal kita di Selatan selama banyak generasi. Keihklasannya sangat diketahui umum, dan baginda menterjemahkan Sutra serta memberikan ufti-ufti yang banyak. Ia sangat bagus untuk menerima dan menghargai baginda, dan memberikan Gelaran yang paling berprestij kepada baginda. Baginda dikurniakan Gelaran “General Pacifying the South” dan Maharaja Funan.
Masyarakat dalam negara tersebut semuanya hodoh dan gelap, dengan rambut ikal. Mereka tidak menggali perigi, dan beberapa puluh isi rumah akan berkongsi satu kolam air. Mereka menyembah Tuhan Syurga (heaven), melalui ikon gangsa dengan dua muka dan empat tangan, atau empat muka dan dan lapan tangan. Setiap tangan memegang sesuatu; anak atau burung atau haiwan buas, atau matahari dan bulan.
Maharaja keluar dan masuk istana dengan menunggang gajah, begitu juga dengan gundik diraja. Raja duduk dengan kaki kanan lutut ditegakkan dan kaki kiri tergantung ke bawah, pinggan putih diletakkan di hadapan baginda, di dalam dulang emas beserta dupa berisi kemenyan. Dalam adat berkabung pula, mereka akan mencukur misai, janggut dan rambut. Setiap kematian akan diuruskan dengan empat cara: dengan air, dibuang ke dalam sungai; dengan api, dibakar sehingga jadi abu; dengan tanah, ditanam di dalam tanah; dan dengan burung, dibiarkan dalam belukar (supaya burung boleh makan). Masyarakatnya pula tamak dan kedekut, tanpa kewajaran, dan lelaki serta perempuan berhubungan tanpa sekatan.
Pada Tahun ke-10 dan ke-13 (Zaman Tianjian, 511 dan 514 M), Sheyebamo menghantar lagi ufti. Pada tahun tersebut (514 M), baginda mangkat dan anaknya dengan seorang gundik, Liutuobamo (Rudravarman?) bunuh adiknya, anakanda kepada permaisuri dan mengangkat dirinya menjadi raja. Pada tahun ke-16 (517 M), baginda menghantar utusan bernama Zhudangbaolao dengan ufti. Pada tahun ke-18 (519 M), baginda hantar lagi utusan bersama Patung Suci India yang diperbuat daripada kayu cendana, daun-daun dari pohon Poluo, dan perbagai jenis kemenyan, termasuklah Huoqizhu, Yujin, dan Suhe.
Pada tahun pertama Putong (520 M), tahun kedua Zhongdatong (528 M), dan tahun pertama Datong (535 M), utusan dihantar dengan pelbagai bentuk ufti. Pada tahun ke-5 pemerintahan Datong (539 M), utusan dihantar beserta seekor badak sumbu. Dikatakan bahawa Kerajaan Funan juga mempunayi selembar rambut Buddha, 1 zhang dan 2 chi panjang, dan Maharaja (Dinasti Liang) menghantar Sami bernama Shi Yunbao sebagai balasan kepada utusan tersebut.
#Dalam artikel seterusnya, admin akan bawakan rekod-rekod Kronik China mengenai Kerajaan-kerajaan berjirananan seperti Dun Sun, Pi-Kien, dan lagenda Kun Lun (Ku Long)
Rujukan:
http://www.funan.de
Ulasan
Catat Ulasan