Politi Kerajaan-Kerajaan Melayu dari Pertengahan Abad ke-6 hingga Abad ke-7M
Selepas kejatuhan Kerajaan Funan dikeronyok oleh gabungan
tentera Bhavavarman dari wangsa Funan (campuran dengan Chen-la) sendiri dan
Citrasena yang merupakan sepupu baginda Bhavavarman, Rudravarman yang juga
datuk kepada Bhavavarman terpaksa akur dengan kejatuhan Kota Vyadhapura dan
penaklukan Tentera Chen-la ke atas Bandar Pelabuhan Oc-eo. Rudravarman yang di
dalam kempen penaklukan ke atas kerajaan-kerajaan melayu di pesisir-pesisir
pantai atau Kota Maritim yang telah menjejaskan hegemoni perdagangan Funan yang
menjadi pusat pengumpulan barangan-barangan seantero kepulauan melayu. Setelah
Negara Takuapa, Tanah Merah, Langkasuka dan Kedah melepaskan diri dari menjadi
negara bawahan (vassal) Funan, Rudravarman mengalami kemerosotan kerana laluan
perdagangan yang strategik ini (menyeberangi Segenting Kra) tidak lagi singgah di Oc-eo kerana teknologi
pelayaran di masa itu telah berubah kepada terus ke Panduranga, iaitu pelabuhan
Kerajaan Champa. Keadaan ini menyebabkan Maharaja Rudravarman, pemegang
hegemoni Persekutuan Negarakota-negarakota Melayu menyerang atau berdiplomasi
dengan Kerajaan-kerajaan melayu di Segenting Kra dan memaksa mereka tunduk
kepada kekuasaan Funan. Keadaan ini juga menyebabkan Rudravarman menjadikan
Agama Buddha Mahayana sebagai agama rasmi Funan bagi mengukuhkan lagi
penguasaan negarakota-negarakota melayu di Segenting Kra, pantai barat dan
pantai timurnya yang mana majoriti mereka mengadopsi ajaran Buddha.
Keadaan ini tidak disenangi oleh Chen-la dan kerabat istana
Funan sendiri kerana kebanyakan daripada mereka menganut ajaran Hindu yang mana
ada hubungkait dengan Kerajaan Orissa di timur laut Anak Benua India. Apabila
dapat peluang, iaitu semasa Maharaja Rudravarman berkunjung ke Panpan atau
Chihtu, Bhavavarman dan Citrasena menyerang dan menakluk ibukota Vyadhapura dan
pelabuhan Oc-eo. Rudravarman dan pengikut-pengikutnya yang terbuang membuka
semula Negara Funan di Segenting Kra, dalam kawasan Negarakota Panpan.
![]() |
Hegemoni yang mungkin di awal kurun ke-7 M. Klik gambar untuk imej yang lebih besar |
Oleh sebab pengaruh Funan yang sangat kuat sebagai pemegang
hegemoni Persekutuan Negarakota-negarakota Melayu, negarakota-negarakota lain
yang berteraskan Mon dan Pyu juga meloloskan diri daripada pengaruh Chen-la
yang telah menguasai Vyadhapura dan Oc-eo. Negarakota-negarakota Dvaravati,
Takola, Lo-yue, Tanah Sari dan sebagainya turut membebaskan diri dari pengaruh
Chen-la. Maka, wujudlah Mon-city States dan Pyu-city States yang mewarnai tanah
besar Asia Tenggara pada kurun ke-6 M sebagai negarakota-negarakota pertanian.
Keadaan ini berterusan sehingga kurun ke-8 M sebelum pengaruh melayu kembali
merajai seluruh Asia Tenggara melalui kerajaan Srivijaya dan pewarisnya.
Di Tanah Melayu pada pertengahan kurun ke-6 hingga
penghujung kurun ke-7 M, negarakota-negarakota melayu wujud menjadi entiti yang
berasingan selepas Funan keluar dari Lembah Mekong. Keadaan ini hampir menyamai
dengan keadaan kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka di mana negarakota-negarakota
di bawah naungan Melaka menjadi entiti tersendiri seperti Jambi, Kampar,
Bintan, Pahang, Pattani dan sebagainya. Kewujudan pola demografi ini
berteraskan kepada etnik dan agama. Negarakota-negarakota di Tanah Besar Asia
Tenggara masih pekat dengan Hindu Sivaism. Segenting Kra, Kedah dan pantai
timur pula dengan ajaran Buddha Mahayana, Kerajaan Malayu (Selatan Semenanjung
dan Kepulauan Riau-Lingga), Jambi, Palembang dan seluruh Selatan Sumatera pula
mengadopsi Ajaran Buddha Theravada atau Hinayana, di samping mengekalkan
kepercayaan agama tua mereka. Agama yang dipercayai dianuti oleh bangsa melayu
merentasi kepulauan-kepulauan melayu iaitu agama monotheism (Percaya kepada
Sang Hyang Tunggal sebagai pencipta alam) dan percaya kepada bintang-bintang
dan semangat-semangat. Agama ini dipercayai Ajaran Agama Kapitayan yang
bertransformasi menjadi ajaran Kejawen dan kepercayaan-kepercayaan orang asli
di semenanjung Tanah Melayu, orang Kubu atau Sakai di Sumatera serta ajaran
orang asal di Borneo.
Dengan adopsi Buddha Mahayana di Segenting Kra,
negara-negara yang mengamalkan ajaran Buddha Mahayana seperti dinasti Tang,
dinasti Sui, Nalanda dan Orissa (Kalinga) di Teluk Bengal lebih cenderung
memilih negarakota-negarakota tersebut sebagai laluan perdagangan mereka di
abad ke-6 dan 7 M. Keadaan ini menyebabkan negarakota sepanjang laluan
trans-semenanjung seperti Langkasuka, Kedah, Panpan, Chih tu, Khalatan, Bolola,
Polosuo, Takola menjadi negarakota yang sangat kaya-raya. Negara-negara di sepanjang
Selat Melaka pula menjadi sokongan kepada negara-negara tersebut dengan
membekalkan pelbagai barangan dagangan seperti emas, rempah ratus, gaharu,
kemenyan dan sebagainya yang menjanjikan pendapatan yang lumayan. Laluan Selat
Melaka di masa itu masih lagi belum cukup popular kerana kebimbangan terhadap
orang laut-orang laut yang ganas serta aktiviti pelanunan yang berleluasa di
seluruh kepulauan melayu.
Selepas kerajaan di Selatan India bangkit sebagai kuasa
maritim, perdagangan yang berlaku semakin pesat dan laluan Selat Melaka pula
menjadi popular dalam kalangan pedagang. Keadaan ini berlaku selepas Kerajaan
Malayu menghantar ufti kepada Dinasti Sui pada tahun 644 M. Laluan Trans-Semenanjung
yang selama ini menjadi lubuk kekayaan kepada semua negarakota di Segenting
kra, utara dan pantai timur semenanjung Tanah Melayu semakin merosot apabila
pelayaran di Selat Melaka menjadi lebih popular dalam kalangan pedagang kerana
Kepulauan dari arah Selatan menjadi pusat pengumpulan emas, gaharu, kapur barus
dan rempah ratus. Situasi ini menjejaskan sedikit perdagangan di sepanjang
laluan Trans-Semenanjung. Keadaan ini menjadi teruk apabila berlaku perang
serta penaklukan Chenla ke atas negarakota-negarakota melayu di Oc-eo sehingga
ke Cahaya, serta kekacauan di Teluk Siam. Antara Negarakota yang terjejas
akibat peralihan pola perdagangan ini ialah Langkasuka, Kedah, Beruas, Chih-tu
(Negara Tanah Merah), Panpan, Khalatan, Foloan, Gangga Negara dan sebagainya.
Kewujudan negarakota-negarakota baharu yang menjadi rakan
dagang kepada Kerajaan Tang pula menyebabkan keadaan ekonomi
negarakota-negarakota di Pantai Timur dan Segenting Kra bertambah buruk.
Kebanyakan negarakota di Asia Tenggara dan Kepulauan Melayu menjalinkan
hubungan dagangan yang tersendiri dengan Kerajaan Tang, sebelum Tahun 670 M.
Kewujudan nama-nama negara baharu dalam rekod Tang seperti Po-luo, Duo-po-deng,
Duo-He-luo, Tou-huan, Tan-ling, Duo-mo-chang, Kha-ling, Ming-mie, dan Lou-cheng
menunjukkan ada hubungan dagangan antara Negara Tang dan Negarakota-negarakota
tersebut sebelum polisi baharu perdagangan diwujudkan oleh Kerajaan Tang.
Pada Pertengahan Kurun ke-7 M, negarakota-negarakota melayu
di Pantai Timur dan Segenting Kra menerima ancaman yang sangat dahsyat dari
Kerajaan Chen-la. Mengikut rekod Tang berkenaan Chen-la, Negara Chen-la telah
menyerap sepenuhnya Kerajaan Funan ke dalamnya. Selain itu, Kerajaan Duo-he-luo
(Mungkin di Takola atau Takuapa) bersempadanan dengan Timur Chen-la dan Selatan
dari Pan-pan. Ini menunjukkan Chen-la telah mula mempengaruhi Dvaravati dan
Pantai Timur Segenting Kra. Negara Funan baharu di Selatan Pan-pan telah
diancam dengan dahsyatnya dengan kehadiran Chen-la di sana. Hipotesis saya,
Chen-la Laut (Water Chen-la) telah mula menjadikan negarakota-negarakota
pelabuhan di Langkasuka, Tambralingga dan Kha-la-tan sebagai Vassal
kerajaannya.
Oleh yang demikian, negarakota-negarakota melayu yang lain
telah mengadakan suatu persidangan dan perancangan untuk merebut kembali tanah
air mereka dari pengaruh Chen-la. Chen-la memiliki tentera darat yang hebat,
tetapi lemah dari segi ketenteraan laut. Ini menjadi suatu kelebihan kepada
negarakota-negarakota melayu untuk mengalahkan Chen-la, dengan syarat mereka
perlu bersatu. Ajaibnya, melalui rundingan diplomatik, Negarakota-negarakota
melayu di Segenting Kra dan Pantai Timur telah mencapai suatu persetujuan dan
membentuk sebuah Kerajaan Persekutuan yang diketuai oleh Seorang Yang Dipertuan
Agung atau digelar sebagai Dapunta Hyang. Antara negarakota yang mungkin
terlibat ialah Chih-tu (Tanah Merah), Takola, Dan-dan, Fo-loan dan Kha-ling.
Menurut hipotesis saya, Takola di Utara Kedah (Kataha), Dan-dan di Utara
Terengganu, Foloan di Tengah dan Selatan Terengganu dan Kha-ling di Pahang. Kerajaan ini dibentuk di sebuah negarakota yang digelar Kota Jaya (Fo-she dalam pelat China) dan mengambil nama Berjaya atau Seri Berjaya (Srivijaya).
Kerajaan ini digelar sebagai Shih-lih-Fo-shih atau Srivijaya dengan Pan-pan
diangkat menjadi ketua mengenangkan pewaris Empayar Melayu Funan berada di
sana.
Seterusnya, Persekutuan Srivijaya ini dengan mudahnya
menewaskan wakil-wakil Kerajaan Chen-la dan menghalau Chen-la dari Tanah Melayu
di Kha-la-tan, Tambralingga dan Langkasuka dan membentuk sebuah Kerajaan
Persekutuan yang diperintah secara Thalarokrasi atau penggiliran Dapunta Hyang.
Persekutuan Srivijaya yang dibentuk ini bermula dari Segenting Kra dan Pantai
Timur Semenanjung. Dari arah Selatan pula terdapat Kerajaan Lo-cheng (Bintan)
dan Temasik purba yang termasuk dalam hegemoni Kerajaan Malayu (nama asal
kerajaan melayu) yang secara hipotesisnya mencadangkan Empayar Melayu ini
meliputi Selatan Johor, Singapura, Kepulauan Riau-Lingga dan sebahagian
Tenggara Sumatra. Kerajaan Malayu mungkin sebuah kerajaan yang dipelopori oleh
Keturunan Melayu Laut (Orang Laut) hari ini. Dari arah Pantai Barat pula,
Kerajaan Kedah menguasai Kerajaan Gangga Negara dan mungkin memanjang sehingga
ke Krabi di Utara dan sehingga ke Klang bagi ke arah Selatannya. Sempadan
dengan Kedah ke utara ialah Kerajaan Duo-he-luo yang ada dua Pulau iaitu
Tuo-han dan Tan-ling. Tuo-han mungkin di Phuket dan Tan-ling di Ko Yao.
Duo-he-luo pula berkemungkinan di Thai-Mueang.
Poli, sebuah kerajaan yang telah wujud sebagai salah sebuah
kerajaan yang disebut dalam Catatan Sui mungkin bermula di Delta Muara Sungai
Rajang telah memindahkan ibukotanya ke Muara Sungai Brunei di Zaman Tang. Sebab
Poli memindahkan ibukotanya masih menjadi misteri. Mungkin mereka menghadapi
ancaman dari Pribumi garang yang turun dari hulu Sungai Rajang seperti Kaum
Melanau, Bidayuh mahupun Iban. Antara kaum asal yang ikut serta dalam
perpindahan itu ialah Kaum Melayu Brunei, Bisaya dan Dusun. Tiada catatan
khusus yang boleh dikaitkan dengan pemindahan tersebut, melainkan catatan Tang
yang menyebut ibukota Poli terletak di Tenggara dari Lin-yi (Champa) dan untuk
sampai ke Poli, perlu melalui Pan-pan, Chishi (Chih-tu?) dan Dan-dan. Maknanya,
dari Guangzhao, pedagang perlu melalui Teluk Siam terlebih dahulu ke Kelantan dan
Terengganu sebelum menggunakan arus laut China Selatan ke arah Borneo. Dalam
catatan Sui pula, besar Poli dari Timur ke Barat mengunjur perjalanan selama 4
bulan dan dari Utara ke Selatan hanya 45 hari, ke arah baratnya terletak
kerajaan Kha-ling. Begitulah politi-politi kerajaan melayu yang dapat dikesan,
namun ia berkemungkinan tidak tepat dengan peristiwa sebenar, kerana terputus
banyak rujukan-rujukan sejarah.
Rujukan:
2. 2012, Suzuki Takashi, The History of Srivijaya: Under The Tributary Trade System of China, JPCA
3 3. 2011, The Early Interaction between South and
Southeast Asia, Reflections on Cross-Cultural Exchange, Institute of Southeast
Asian Studies.
Hmm...Poli. Cikgu Nizam boleh juga kupas tentang Poni. Taukan?
BalasPadamsaya syorkan kupas apa yang berlaku di Borneo ketika era Malay city-states di sebelah smenanjung dan sumatera.
Poni ni pun agak lama usianya.
~Srikandi
lihat komen bawah... haha salah balas
PadamMacam tau2 jer ciksri pasal Poli dan Poni... hehe. Kebetulan tadi dkt sekolah ada seorang YB di Limbang yang kaji pasal sejarah Borneo ni dan mengatakan bahawa Kerajaan Poni atau Boni telah wujud pada tahun 860M... mgkin Poli dan Poni ni sama, cuma sebutan era cina sahaja yang berbeza?? sbb klu ikut Suishu, dari timur ke barat Poli mengambil masa 4 bulan perjalanan, manakala dari utara ke selatan mengambil masa 45 hari sahaja....
BalasPadamMana ada Melayu di zaman Poli/Poni. Yang ada cuma Dusun dan Bisaya di Brunei ketika itu. Dusun dan Bisaya, bangsa terawal di Brunei. Sebelum berkhijrah kaum Lun Bawang dari pedalaman ke pesisir, akhirnya Melayu berhijrah ke Brunei dari Sumatra dan Kedayan.
BalasPadam